Lengkap vaksinasi boleh makan di R&R

Kuala Lumpur: PLUS menjangka peningkatan 1.3 juta kenderaan sehari di semua lebuh raya kendalian syarikat itu pada hujung minggu ini dan cuti umum Maulidur Rasul Selasa depan, berbanding 1.1 juta kenderaan sehari ketika ini.
Pengusaha premis makanan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di bawah kendalian PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diingatkan supaya memastikan hanya pengunjung lengkap vaksinasi makan di kedai atau ‘dine in’ susulan kebenaran merentas negeri bermula hari ini.
Ketua Perhubungan Libat Urus Strategik PLUS, Syed Mohammed Idid, berkata pengusaha PLUS tidak boleh memantau prosedur operasi standard (SOP) semua pelanggan di R&R dan pengusaha kedai perlu memainkan peranan dalam hal ini.
“Sebelum penularan pandemik COVID-19 di negara ini, sebanyak 1.7 juta kenderaan direkodkan pada hari biasa manakala cuti umum atau hari minggu sebanyak 2.2 juta kenderaan,” katanya.
Menurut Berita Harian, pengunjung perlu mengamalkan kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi SOP ditetapkan kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga menyarankan bahawa pembersihan sanitasi premis mesti dilakukan dengan kerap begitu juga merekod suhu badan pengunjung dan pihak R&R mesti menyediakan kemudahan basuh tangan menggunakan sabun dan cecair pembasmi kuman.
Oleh Ummi Fatihah – wartawan pelatih UiTM