Semasa

Gajah Borneo Pygmy berusia 25 tahun ditemui mati

KINABATANGAN: Seekor gajah betina berusia 25 tahun ditemui mati di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan, berhampiran Sungai Resang Sukau pada Sabtu lalu.

Bangkai gajah Borneo Pygmy ditemui pihak penyelidik hidupan liar pada jam 8.30 pagi sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan.

Menurut Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, pihaknya menerima laporan pada jam 7.11 malam.

Sehubungan itu, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kinabatangan bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Kinabatangan, Unit Veterinar Sepilok dan Unit Penyelamat Hidupan Liar Kinabatangan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 66 kilometer dari Pekan Kinabatangan.

“Pemeriksaan fizikal mendapati tiada organ-organ gajah yang hilang dan gajah tersebut dipercayai telah mati dalam tempoh tiga hingga empat hari dari tarikh ditemui,” katanya.

Merujuk laporan Sinar Harian, hasil bedah siasat menunjukkan  kematian haiwan tersebut berpunca daripada keradangan teruk beberapa bahagian organ dalaman seperti usus dan perut sehingga  gagal berfungsi.

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button