
KEPULAUAN CANARY : Kira-kira 5,500 penduduk terpaksa dipindahkan susulan lava yang mengalir daripada letusan gunung berapi pertama Kepulauan Canary di Sepanyol dalam tempoh 50 tahun.
Menurut laporan pihak berkuasa, letusan itu mengakibatkan sekurang-kurangnya 100 buah rumah musnah dalam jangka masa yang singkat.
Kata seorang pegawai, aliran lava tidak sampai ke Lautan Atlantik pada Isnin seperti yang dianggarkan sebelumnya.
Pakar menjangkakan jika berlaku, lebih banyak letupan dan gas beracun akan tercetus.
Setakat ini tiada kematian atau kecederaan dilaporan, namun, rakaman dron sempat menunjukkan dua aliran kepala lava hitam melalui lereng menuju ke laut.
Seorang saksi memberitahu Reuters, dia menyaksikan aliran lava mengalir melalui sebuah rumah di Los Campitos dan memusnahkannya sedikit demi sedikit.
Pihak berkuasa berkata, enam jalan di pulau terpaksa ditutup.
Pemimpin wilayah, Angel Victor Torres, berkata insiden ini telah menyebabkan kerugian harta benda yang sangat besar.
“Ia masih aktif dan akan terus aktif untuk beberapa hari lagi,” tambahnya.
Seorang pelancong dari Austria, Eva, 53, berkata kejadian tersebut amat mengerikan dan boleh diibaratkan seperti gempa bumi.
“Kemudian pada pukul 3 petang, seorang wanita memberitahu kami perlu segera meninggalkan tempat itu,” katanya.
Menteri Pelancongan, Reyes Maroto mengatakan letusan itu adalah ‘pertunjukan luar biasa’ dan akan menarik lebih banyak pelancong ke kepulauan berkenaan yang bergantung kepada industri pelancongan.
Bagaimanpun, sebilangan pelancong di lapangan terbang tidak bersetuju dengan Maroto.
“Kami mahu beredar secepat mungkin,” kata Wienard, seorang pekerja sosial berusia 55 tahun dari Salzburg.
Kira-kira 360 pelancong dipindahkan daripada sebuah resort di La Palma dan dibawa ke Pulau Tenerife pada awal pagi Isnin.
Perdana Menteri Pedro Sanchez turut mengunjungi beberapa kawasan yang terjejas pada Isnin.
La Palma berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan ribuan gegaran dilaporkan selama seminggu di Cumbre Vieja.
Ia sebahagian rantaian gunung berapi yang kali terakhir meletus pada tahun 1971 dan merupakan salah satu kawasan gunung berapi yang paling aktif di Kepulauan Canary.
AGENSI
Disunting oleh Nurshazlin Shahrom