Semasa

Maritim Malaysia selamatkan kru kapal tangki warga Itali sakit apendiks

LUMUT : Seorang wanita warga Itali berdepan saat genting apabila diserang sakit perut kronik atau apendiks  ketika kapal berada di perairan Utara Banda Acheh, Indonesia.

Walau bagaimanapun, kru kapal tangki berusia 22 tahun itu berjaya diselamatkan salah seorang Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak melalui misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) pada Sabtu.

Menurut pengarahnya, Kepten Maritim Sharizan Raman berkata, Maritime Rescue Sub Coordination (MRSC) Langkawi telah menerima aduan daripada syarikat pemilik kapal yang berpusat di Singapura sekitar jam 2 petang pada Jumaat.

“Syarikat berkenaan meminta bantuan bagi membawa kru wanita terbabit ke pusat kesihatan atau hospital terdekat.

“Berdasarkan maklumat awal diterima, lokasi Kapal MV Drenec itu dimaklumkan berada di sekitar 190 batu nautika barat laut Pulau Langkawi.

“Ejen kapal tersebut yang berada di Lumut mencadangkan untuk mendaratkan mangsa di Malaysia berikutan kemudahan fasiliti hospital yang lebih meyakinkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Shahrizan berkata, misi dilaksanakan dan mangsa dipindahkan melalui titik pertemuan aset Maritim Malaysia bersama kapal tangki terbabit di kedudukan empat batu nautika utara Pulau Pangkor.

“Mangsa telah dipindahkan dengan menggunakan kaedah ’transfer bucket’ milik kapal MV Drenec di kedudukan titik pertemuan tersebut.

“Mangsa selamat dibawa ke Jeti Perikanan Kampung Acheh di sini sekitar jam 11 pagi sebelum dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Pantai Seri Manjung,” katanya.

Sinar  Harian

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button