Semasa

Tiada bukti penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam serangan 11 September

Susulan pendedahan dokumen pertama siasatan serangan 9/11 oleh FBI

WASHINGTON : Biro Siasatan Persekutuan (FBI) telah menyiarkan dokumen setebal 16 halaman berkaitan dengan sokongan logistik diberikan terhadap dua perampas pesawat  warga Arab Saudi dalam serangan 11 September 2001.

Dokumen terbabit mendedahkan hubungan perampas itu dengan rakan kerjasamanya di Amerika Syarikat (AS), namun tidak mengemukakan sebarang bukti penglibatan kerajaan Arab Saudi dalam merancang serangan.

Dokumen yang dikeluarkan sempena ulang tahun ke-20 serangan itu merupakan laporan penyiasatan pertama didedahkan sejak Presiden AS, Joe Biden mengarahkan kajian semula terhadap material yang bersesuaian untuk dikongsi kepada orang awam.

Kerajaan Arab Saudi menafikan sejak dari awal pembabitan mereka dan menyokong tindakan pendedahan dokumen tersebut kepada orang ramai sebagai cara untuk mengakhiri tuduhan tidak berasas terhadap kerajaan untuk selama-lamanya.

Minggu lalu, Biden mengarahkan Jabatan Kehakiman AS dan agensi lain melakukan semakan terhadap dokumen penyiasatan dan menyiarkan maklumat tertentu dibenarkan dalam tempoh enam bulan.

Dokumen itu dikeluarkan pada malam Sabtu, beberapa jam selepas Biden menghadiri acara peringatan 11 September di New York, Pennsylvania dan Virginia Utara.

Saudara-mara mangsa sebelum ini keberatan dan membantah kehadiran Biden pada upacara berkenaan selagi dokumen terbabit yang dianggap sulit tidak didedahkan.

Rekod yang disunting itu mendedahkan wawancara pada 2015 dengan seorang individu yang memohon kerakyatan AS dan pada tahun sebelumnya berulang kali berhubungan dengan warga Arab Saudi yang menurut penyiasat memberi ‘sokongan logistik yang signifikan’ kepada beberapa perampas.

– AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button