Pemegang visa pelancongan dibenar tunai umrah
RIYADH : Kementerian Haji dan Umrah mengumumkan pelancong yang datang ke Arab Saudi menggunakan visa pelancongan dibenarkan menunaikan umrah.
Menurut laporan Saudi Gazette, jemaah perlu mendapatkan permit umrah dengan melengkapkan prosedur melalui permohonan menerusi aplikasi Eatmarna dan Tawakkalna.
Kementerian tersebut berkata, pemegang visa lawatan juga boleh mendapatkan izin umrah dengan menyelesaikan proses pendaftaran melalui aplikasi Eatmarna.
“Pendaftaran akaun di Eatmarna hanya boleh dilakukan selepas pemegang visa mengemaskini status kesihatan dalam aplikasi Tawakkalna.
“Hanya mereka yang sudah divaksin lengkap terhadap Covid-19 atau lengkap 14 hari selepas mendapatkan dos pertama atau telah sembuh daripada jangkitan Covid-19 berhak mendapatkan visa umrah,” jelas kementerian itu.
Kira-kira 500 buah syarikat perkhidmatan dan pertubuhan umrah serta lebih 6,000 ejen umrah dari luar negara sudah mula menerima jemaah umrah yang sudah divaksin sejak 9 Ogos lalu.
Jemaah yang berhasrat untuk menempah pakej umrah boleh membuat pembayaran melalui 30 buah laman elektronik dan platform tersedia bagi tempahan dari seluruh dunia.
Dalam pada itu, Kementerian Haji dan Umrah baru-baru ini memaklumkan tentang rancangan untuk melancarkan mekanisme baharu bagi mengeluarkan visa umrah secara dalam talian.
Hal ini berikutan kesediaannya untuk menerima seramai mungkin jemaah umrah berdasarkan kuota telah dipersetujui dengan sejumlah negara Islam lain sebelum tercetusnya wabak Covid-19.
– AGENSI