Ibu bapa perlu yakinkan anak ambil vaksin – Rina Harun
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
KUALA LUMPUR: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun menyeru golongan muda untuk diberi advokasi dan kefahaman berterusan mengenai bahaya pandemik Covid-19.
Ulas beliau, selain menjaga dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), ibu bapa serta penjaga memainkan peranan penting dengan terus meyakinkan anak jagaan mereka bahawa vaksin adalah penting untuk perlindungan kesihatan yang selamat bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19.
Selain itu, ibu bapa dan penjaga perlu mendapatkan maklumat sahih serta tepat mengenai COVID-19 daripada sumber sah bagi membendung berita palsu.
Katanya, pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa suntikan vaksin kepada remaja berumur 12 hingga 17 tahun bermula hari ini di Sarawak adalah berita gembira dalam usaha mengukuhkan keselamatan dan kesihatan remaja di negara ini ketika mendepani pandemik.
“Seramai 76,400 orang remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sarawak mula menerima vaksin COVID-19 hari ini, menjadikan mereka kumpulan pertama di Malaysia yang divaksinasi.
“Ini satu indikator dalam membuktikan kesungguhan dan komitmen kerajaan yang tidak pernah meminggirkan kepentingan terbaik bagi golongan remaja,” katanya.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata kementeriannya sedia bekerjasama dengan semua pihak berkaitan dalam memastikan inisiatif itu dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, seterusnya membantu mencapai imuniti kelompok Keluarga Malaysia dengan lebih meluas.
Oleh Nurshazlin Shahrom