Lebih 400 kawasan di 5 daerah Selangor dijangka alami gangguan air
Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah
Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday
KUALA LUMPUR : Sebanyak 463 kawasan dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, selepas Loji Rawatan Air Sungai Semenyeih dihenti tugas berikutan pencemaran bau yang dikesan di Stesen Pam Air Menah Jenderam Hilir pada 11.10 pagi.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata, gangguan bekalan air itu meliputi lima wilayah Air Selangor iaitu 172 kawasan di Petaling, Hulu Langat (54), Sepang (194), Putrajaya (23) dan Kuala Langat (20).
Menurut Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar sungai berkenaan.
Katanya Air Selangor juga telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna terlibat.
“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19. Air Selangor sedang mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada para pengguna yang terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan insiden itu dari semasa ke semasa, dan pengguna boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi itu seperti Facebook, Instagram dan Twiter, atau menghubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar