Covid19Semasa

Sektor pelancongan Terengganu dibuka secara rasmi mulai 1 Sept

KUALA TERENGGANU : Sektor pelancongan di Terengganu akan dibuka secara rasmi kepada individu yang telah lengkap menerima dua dos vaksin mulai 1 Sept (Rabu) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Ariffin Deraman berkata pembukaan sektor pelancongan itu meliputi pulau peranginan terkemuka termasuk Pulau Kapas, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.

“Sebenarnya pulau-pulau telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksin tetapi aktiviti seperti ‘snorkeling’ dan ‘diving’ tidak dibenarkan, jadi ramai pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.

“Oleh itu  bermula 1 Sept ini aktiviti-aktiviti tersebut akan dibenarkan namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, antara SOP yang ditetapkan adalah hanya pelancong dalam negeri dan telah lengkap vaksin sahaja dibenarkan dan pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan jangkitan Covid-19.

Ariffin berkata selaran dengan kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di negeri itu, inap desa dan hotel turut dibenarkan beroperasi, bagaimanapun, zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih tidak dibenarkan beroperasi.

Tambahnya, Pulau Perhentian juga tidak masih ditutup berikutan terdapatnya kes positif Covid-19 dalam kalangan penduduk di pulau tersebut, sejak minggu lepas.

Dalam pada itu, Ariffin berkata dengan slogan ‘We Are Safe To Visit’, kerajaan negeri akan sentiasa mempergiat aktiviti mempromosi produk pelancongan di Terengganu bagi menghidupkan kembali industri tersebut, termasuk di media sosial.

Sementara itu, berdasarkan data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu mengenai kadar purata penginapan hotel bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, negeri ini berada pada tangga ketiga iaitu 35 peratus, selepas Sarawak (62 peratus) dan Perlis (42 peratus).

“Kadar penginapan hotel bagi Terengganu dipacu oleh program kuarantin hotel-hotel bagi pekerja sektor minyak dan gas yang perlu dikuarantin sebelum dan selepas pulang dari pelantar. Lebih kurang 16 daripada 36 hotel di Terengganu yang berdaftar dengan MAH terlibat dalam program kuarantin tersebut,” katanya.

 

-BERNAMA

 

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button