Covid19Semasa

Bantu petugas barisan hadapan ‘merdekakan’ negara daripada COVID-19

Follow kami di https://t.me/UmmahTodayNews
Informasi berita ummah bagi perkembangan semasa dalam arus perjuangan ummah

Platform medsos : https://linktr.ee/UmmahToday

ALOR SETAR : Menjejakkan kaki ke wad yang dipenuhi pesakit Covid-19 umpama membawa diri ke medan tempur, namun ia lebih mendebarkan lantaran senjata tidak boleh dibidik ke arah lawan kerana musuh tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

“Memang sangat risau, bimbang dan takut. Setiap hari kami berhadapan dengan mereka (pesakit) yang positif Covid-19 dan yang paling merisaukan, sekiranya kami terbawa balik virus yang mampu membunuh ini ke rumah dan menjangkiti anak-anak serta ahli keluarga yang lain.

“Namun, demi tugas dan tanggungjawab serta amanah, kami reda melaksanakan tanggungjawab ini untuk semua dan selebihnya, nasib perjuangan kami ini kami berserah sepenuhnya kepada Allah,” kata Ketua Jururawat Wad Covid-19 Hospital Kuala Nerang (HKN) Mimi Yusmiza Yahya kepada Bernama di sini.

Wanita berusia 40 tahun itu berkata, perjuangan beliau dan rakan-rakan bukanlah sesuatu yang mudah dan ini memerlukan sokongan semua pihak terutamanya orang ramai.

“Bantulah kami ‘merdekakan’ tanah air kita daripada wabak yang menjadi musuh nombor satu negara ini. Dalam memerangi Covid-19 ini sangat penting untuk kita semua terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) kerana Covid-19 datang tanpa syarat, tanpa isyarat dan tanpa mengira sesiapa pun, ia membunuh sesuka hati!

“Kasihanilah kami petugas barisan hadapan yang tanpa jemu siang dan malam berperang dengan musuh yang kami sendiri tak nampak dan tahu bila akan berakhir.

“Penat lelah ini hanya akan hilang apabila nampak penurunan kes dari sehari ke sehari,” katanya.

Mimi Yusmiza berkata, sokongan kuat daripada rakan sekerja juga amat membantu sesama mereka dalam menghadapi serangan ‘musuh licik’ ini, selain mendapat dorongan semangat daripada ahli keluarga masing-masing.

Sementara itu, Pengarah HKN Dr Muhammad Syauqi Abdul Kadir berkata, HKN adalah hospital Covid-19 sepenuhnya bagi menempatkan pesakit kategori 3 hingga 5 dari seluruh Kedah.

“Apabila dipilih sebagai hospital Covid-19 negeri, ia satu cabaran besar namun, ia disahut semua lapisan kepimpinan dan kakitangan hospital tanpa mengenal lelah dan putus asa.

“Ilmu dan kemahiran dipelajari dalam masa singkat, rawatan pesakit Covid-19 diberikan dengan penuh dedikasi dan komitmen yang terbaik. Ya letih, tapi itu adalah lumrah dalam berjuang,” katanya.

Beliau berkata, walau apa juga rintangan, taat setia dan sumpah janji tetap dipegang kemas dalam memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Kedah adalah antara negeri tertinggi mencatatkan kes positif Covid-19 dengan melebihi empat angka setiap hari dan masih belum menunjukkan penurunan.

Peningkatan ini disebabkan jangkitan wabak yang sudah berada dalam masyarakat, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Othman Warijo.

“Kes telah berada di kawasan bandar dan desa, di tempat kerja dan tempat awam, di taman perumahan dan kampung.

“Majoriti kes baharu di Kedah dikesan daripada saringan kontak rapat iaitu sekitar 60 peratus, saringan bergejala 20 peratus dan saringan kendiri 10 peratus.

“Kewujudan varian Delta di Kedah pula menyebabkan jangkitan lebih mudah dan cepat dengan kadar kebolehjangkitan lebih besar. Seorang yang positif boleh menjangkiti semua ahli keluarga beliau,” katanya.

Beliau berkata, keadaan bertambah buruk apabila ada segelintir ahli masyarakat tidak mematuhi SOP dan mengamalkan norma baharu seperti tidak memakai pelitup muka dengan sempurna di tempat awam, makan beramai-ramai ketika rehat di tempat kerja dan berkumpul tanpa penjarakan.

BERNAMA

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button