Dr Zulkifli zahir rasa syukur atas lantikan Kabinet baharu

KUALA LUMPUR : Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, hari ini menzahirkan ucapan tahniah dan rasa syurkur atas lantikan kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi hantaran Instagram miliknya, Dr Zulkifli meluahkan rasa syukur atas pengumuman ahli Jemaah Menteri yang baharu.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT. Barisan Kabinet baru telah pun diumumkan oleh Perdana Menteri.
“Tahniah saya ucapkan kepada semua barisan Kabinet, khususnya kepada Senator Tuan Haji Idris Ahmad, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Tak dilupakan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary selaku Timbalan Menteri.” ulas Dr Zulkifli.
Dalam masa yang sama, Ahli Dewan Negara itu juga memohon maaf kepada semua barisan agensi-agensi agama peringkat Persekutuan di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri atas salah silap beliau sepanjang berkhidmat.
“Doa saya moga negara yang kita cintai ini terus makmur, maju dan bangkit kembali pada era endemik COVID-19.” katanya.
Oleh Nurshazlin Shahrom