Fadilat di sebalik puasa sunat ‘Asyura
BANGI : Bulan Muharram bukan sahaja dikenali sebagai bulan hijrah Nabi Muhammad SAW, dan bulan pertama dalam kalendar Islam, tetapi ia juga dikenali sebagai bulan yang terkandung dalamnya, puasa sunat ‘Asyura pada setiap 10 Muharram.
‘Asyura’ berasal daripada perkataan Arab ‘asyara’ yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari kesepuluh dalam kalendar Islam. Namun, apakah fadilat di sebalik puasa ‘Asyura ini dan apa kepentingan puasa ini untuk umat Islam?
Sekiranya ditinjau daripada sudut sejarah, hari Asyura telah menjadi saksi berlakunya pelbagai peristiwa besar ke atas para nabi seperti Nabi Musa diselamatkan daripada dikejar Firaun dan juga kisah pengampunan Allah kepada Nabi Adam.
Selain itu, terdapat dua nas yang membuktikan bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam empat bulan haram yang dilarang untuk berperang.
Segala amalan soleh mendapat ganjaran yang besar, manakala dosa maksiat juga turut menjadi lebih besar dalam bulan-bulan haram tersebut.
Kelebihan puasa sunat ‘Asyura
Walaupun berpuasa sepanjang bulan Muharram sangat digalakkan, namun untuk yang tidak mampu terdapat nas khusus yang menceritakan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram iaitu hari ‘asyura. Ini adalah berdasarkan beberapa riwayat.
Antaranya adalah riwayat daripada Abu Qatadah R.A. bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
صِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ إِنِّي أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ
Maksudnya: Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
Begitu juga sebuah riwayat daripada Abdullah Ibn Abbas yang berkata;
قَدِمَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمَدِينَةَ، فَرَأَى الْيَهُودَ تَصُومُ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَقَالَ ” مَا هَذَا ”. قَالُوا هَذَا يَوْمٌ صَالِحٌ، هَذَا يَوْمٌ نَجَّى اللَّهُ بَنِي إِسْرَائِيلَ مِنْ عَدُوِّهِمْ، فَصَامَهُ مُوسَى. قَالَ ” فَأَنَا أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ ”. فَصَامَهُ وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ
Maksudnya: Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.
Riwayat al-Bukhari (2004)
Hal ini jelas membuktikan bahawa hukum berpuasa pada hari ‘Asyura adalah disunatkan buat seluruh umat Islam.
Kita juga turut diperintahkan untuk berpuasa sebelum atau selepas 10 Muharram. Ini bertujuan bagi menyelisihi amalan dan cara Yahudi yang berpuasa pada 10 Muharram sahaja.
Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas, beliau berkata bahawa Nabi S.A.W bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا، أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
Riwayat Ahmad (2154)
Oleh itu, sebagai umat Islam, kita seharusnya berniat melaksanakan segala bentuk ibadah bagi mengikuti amalan Rasulullah SAW.
Oleh Nurshazlin Shahrom