Muhyiddin letak jawatan sebagai Perdana Menteri
KUALA LUMPUR : Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meletak jawatan selepas 17 bulan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan.
Turut meletak jawatan adalah 29 Menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Muhyiddin.
“Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan Parlimen.
“Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembangaan Persekutuan,” kata Muhyiddin dalam perutusan khas hari ini.
Ahli Parlimen Pagoh itu menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin semasa menghadap seri Paduka di Istana Negara tengah hari tadi.
Susulan itu, Muhyiddin kini menjalankan tugas sebagai perdana menteri ‘caretaker’ atau sementara sehingga perdana menteri baru dilantik.
Pada 1 Mac 2020, Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan pada 24 Februari tahun ini.
-BERNAMA