Pemergian tokoh ulama Nimatullah satu kehilangan besar dalam persada dunia Islam
Dunia Islam telah kehilangan seorang lagi permata yang besar sumbangannya dalam dakwah syiar Islam.
Menurut laporan agensi Anadolu, Nimatullah telah meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada umur 90 tahun akibat kegagalan jantung ketika menerima rawatan di sebuah hospital di Istanbul.
Nimatullah Ibrahim Yurt, turut dikenali sebagai ‘Nimatullah Khoja’, dilahirkan pada tahun 1931 di wilayah Tashuva di negeri Turki Amasya (utara), dan dibesarkan oleh kedua-dua ibu bapanya, Ibrahim dan Hatun Yurt.
Sejak usianya muda lagi, Nematullah mula melibatkan diri dalam kelas ulama bersama bapanya, manakala kakaknya Fatima mengajar Al-Quran di wilayah Amasya.
Beliau pernah bertugas sebagai bilal di Masjid Sultan Ahmed di Istanbul pada tahun 1955, dan berkhidmat sebagai timbalan kepada imam terkenal Muhammed Okotje (Kunnli Muhammed Effendi) dan Seyyed Shafik Arwasi, sebelum berpindah ke Mekah bersama bapanya.
Kehebatan beliau memang tidak boleh disangkal lagi apabila beliau fasih berbicara dalam pelbagai bahasa seperti bahasa Turki, Arab, Parsi, Urdu, Jepun, dan Inggeris, bagi memudahkan beliau menyampaikan mesej Islam kepada orang ramai.
Beliau telah mengagihkan 20,000 naskhah Al-Qur’an di China pada tahun 1981, dan melawat lebih daripada 50 negara sepanjang hidupnya bagi mengembangkan ajaran Islam.
Sumbangan besar beliau dalam dunia Islam adalah beliau berjaya membina 401 masjid dan surau di Jepun.
Beliau amat lemah lembut dalam menyampaikan dakwah dan cara beliau itu telah berjaya menarik minat 100,000 orang untuk memeluk agama Islam.
Satu fakta menarik mengenai beliau adalah beliau sentiasa membawa kad yang tertulis dua kalimah syahadah اشهد ان لا اله الا الله واشهد ان محمد رسول الله dan akan memberikan kepada sesiapa sahaja yang beliau temui.
Ribuan orang telah menghadiri majlis pengebumiannya yang bermula dari Masjid Al-Fateh, timur Istanbul, dan bergerak ke kawasan Sultan Eyup, di mana beliau dikebumikan di tanah perkuburan di situ.
Pengorbanan besar beliau dalam memartabatkan Islam patut dicontohi dan seharunya menjadi ikon kepada generasi sekarang.
Justeru itu, ilmu yang berkembang ini akan tiba kepada pengakhiran melalui guru dan ulama yang dimatikan Allah SWT.
Maka setiap penuntut ilmu perlu bersedia bagi mewarisi ilmu itu dan menyampaikan kepada generasi seterusnya sebagai kesinambungan dakwah Islam.
Nabi SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu sekali gus daripada hamba-Nya, tetapi Dia mencabut ilmu itu dengan mematikan para ulama, sehingga tiada lagi ulama yang tinggal. Pada saat itu, manusia akan mengangkat pemimpin daripada kalangan orang yang bodoh. Dan ketika pemimpin itu ditanya sesuatu, maka akan keluar daripadanya fatwa yang tidak berasaskan ilmu sehingga mereka tersesat dan menyesatkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).
Oleh Hafeez Anuar