Covid19Dunia

WHO gesa pemimpin dunia henti ketidakseimbangan dalam pemberian vaksin

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menggesa 20 pemimpin utama dunia menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan segera ketidakseimbangan terhadap pemberian suntikan vaksin COVID-19.

Penasihat kanan kepada Ketua Pengarah WHO, Bruce Aylward berkata, mereka sepatutnya ‘malu’ dan sedar situasi akan bertambah buruk sekiranya wujud usaha menyekat penduduk miskin mendapatkan vaksin.

“Ada sekurang-kurangnya 20 orang di dunia ini yang mampu menyelesaikan masalah ketidakseimbangan ini.

“Mereka adalah ketua syarikat besar yang menguruskan hal ini, ketua negara yang mendapatkan sebahagian jumlah besar vaksin di dunia dan ketua kepada negara yang menghasilkannya.

“Kita mahu 20 orang yang berani berkata ‘kami akan menyelesaikannya pada akhir September ini. Kami akan memastikan setiap 10 peratus penduduk di setiap negara akan divaksin’,” katanya dalam sidang media secara maya, semalam.

PBB sering ‘berang’ dengan pendirian negara kaya yang menguasai bekalan vaksin ketika negara membangun lain bergelut untuk melaksanakan program imunisasi kepada penduduk mereka.

Ketika ini, AFP menganggarkan, lebih 4.5 bilion dos vaksin diedarkan di seluruh dunia.

Di negara yang dikategorikan Bank Dunia sebagai berpendapatan tinggi, 104 dos diberikan bagi setiap 100 penduduk manakala di 29 negara pendapatan rendah pula, hanya dua dos diberikan bagi setiap 100 orang.

Aylward turut menggesa orang ramai memberitahu ahli politik serta ‘taikun’ perniagaan mengenai kebaikan usaha meningkatkan vaksinasi di negara miskin.

“Kita semua harus berasa malu dengan diri sendiri. Saya mungkin tidak boleh membantu tetapi sekiranya anda menghalang vaksin dihantar ke seluruh dunia, bukankah ia memburukkan lagi keadaan pada waktu ini,” katanya.

-AGENSI

Diterjemah oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button