Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci lantik dua wanita sebagai pembantu

MEKAH – Ketua Presiden Hal Ehwal Dua Masjid Suci iaitu Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah, Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais melantik dua wanita iaitu Dr Fatima Zaid Al-Rashoud dan Dr Al-Anoud Khaled Al-Anoud sebagai pembantu ketua presiden itu.
Dr Fatima dilantik sebagai pembantu presiden bagi hal ehwal wanita dan penasihat kepada presiden manakala Dr Al-Anoud dilantik sebagai pembantu presiden dalam pembangunan hal ehwal wanita.
Dalam pada itu, Al Sudais turut mengeluarkan arahan untuk melantik 20 wanita berkelulusan ijazah sarjana dan kedoktoran untuk memegang jawatan tinggi sekali gus membantu pentadbiran ketua presiden tersebut.
Pelantikan ini menjadikan bilangan wanita yang memegang jawatan pentadbiran membantu presiden adalah yang teramai dalam sejarah negara tersebut.
Perlantikan ini bertujuan bagi memperkasa kaum wanita sebagai sebahagian usaha untuk memberikan jawatan pentadbiran kepada golongan tersebut.
Pelantikan wanita untuk jawatan kanan di institusi keagamaan itu bertepatan dengan Wawasan Arab Saudi 2030 bagi memberikan peluang kepada wanita berkhidmat kepada pelawat dan Jemaah di dua masjid suci tersebut.
-AGENSI
Diterjemah oleh Hafeez Anuar