
SINGAPURA : Kwek Yu Xuan, bayi 14 bulan yang mungkin mencatat rekod dunia sebagai bayi paling ringan dilahirkan pramatang di singapura dengan hanya seberat 212 gram, dibenarkan keluar hospital dalam keadaan sihat.
Menurut Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura, rekod baharu itu adalah berdasarkan catatan yang disimpan bahagian Pendaftaran Bayi Terkecil, Universiti Iowa.
NUH berkata, rekod bayi terkecil dunia sebelum ini adalah 245 gram sewaktu dilahirkan di Amerika Syarikat.
Kini, NUH menyatakan Yu Xuan sudah mencapat berat 6.3 kilogram dan dibenarkan keluar hospital pada 9 Julai lalu.
Dalam sesi taklimat media secara dalam talian anjuran NUH semalam, ibu bayi, Wong Mei Ling berkata pada mulanya beliau dan suaminya, Kwek Wee Liang, berasa amat sedih kerana terpaksa melahirkan bayi pramatang.
“Sekarang kami amat gembira kerana ia membesar dengan sihat dan dibenarkan keluar hospital. Kami berasa kagum dan amat berterima kasih kepada doktor dan jururawat di unit rawatan rapi neonatal (NICU) atas perhatian dan penjagaan perubatan menakjubkan untuk Yu Xuan,” katanya.
Pasangan itu pada awalnya merancang bayi itu dilahirkan di Malaysia untuk bersama dengan anak sulung mereka yang kini beruia empat tahun.
Bagaimanapun disebabkan masalah ‘preeclampsia’ atau tekanan darah tinggi sewaktu hamil Mei Ling di masukkan ke NUH dan menjalani pembadahan sewaktu mengandung 24 minggu enam hari, berbanding tempoh kehamilan biasa selama 40 minggu.
Yu Xuan dimasukkan ke NICU NUH dan terus berada di situ selama 13 bulan, menjadikan dia bayi paling lama berada di wad berkenaan.
“Pasukan NICU berterima kasih kepada keluarga Yu Xuan kerana kepercayaan yang diberikan terhadap kami untuk merawat dan menjaga bayi ini,” kata Ketua Perunding Kanan, Jabatan Neonatal, Khoo Teck Puat, Insititut Perubatan Kanak-Kanak (KTM-NUCMI,NUH), Profesor Madya Zubair Amin.
“Ia satu perjalanan yang sukar buat Yu xuan dan kami amat menghargai kerjasama dan sokongan padu daripada rakan, penyumbang serta seluruh masyarakat yang turut membantu terhadap kelansungan dan pembesaran bayi ini.
NUH berkata perkembangan dan keadaan kesihatan Yu Xuan, semakin baik meskipun dia ketika ini menghidap penyakit paru-paru kronik dan tekanan tinggi salur darah, dua keadaan kesihatan lazim bagi bayi yang dilahirrkan pramatang ekstrim.
-BERNAMA
Oleh Hafeez Anuar