PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) memerlukan masa untuk melandaikan lekuk kes jangkitan Covid-19 negara berikutan penularan varian Delta yang lebih dominan dengan kadar kebolehjangkitan lebih pantas.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim, berbeza dengan varian dalam penularan virus Covid-19 dari Wuhan, China tahun lalu, kadar kebolehjangkitan membabitkan varian Delta adalah berbeza.
Hasil penjujukan genom yang dijalankan Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) serta agensi lain, pihaknya mendapati jangkitan di Lembah Klang ketika ini membabitkan varian Delta.
“Unjuran kenapa kes belum menurun, ini unjuran NIH, kita lihat sekarang masih meningkat kes harian kerana berdepan varian baharu.
“Jika tahun lalu daripada varian Sivagangga, kita akan ada peralihan varian dengan mutasi baharu. Varian dominan daripada penjujukan genom IMR dan makmal lain mendapati dominan adalah varian Delta, kadar kebolehjangkitan berbeza,” katanya pada Sidang Media Khas KKM hari ini.
Dr Hishamshah berkata, apabila jangkitan membabitkan varian baharu, cara untuk melandaikan kes positif harian sedikit berbeza dan mengambil masa.
Pada masa sama, beliau berkata, KKM menganggarkan kes jangkitan akan memuncak pada akhir bulan ini. Lengkung jangkitan dijangka melandai menjelang 31 Oktober jika vaksinasi dos lengkap mencecah 80 peratus.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim – Sumber foto : BERNAMA
“Perkara yang sama kita dapat lihat di Labuan dan Sarawak. Kita jangkakan kalau kita dapat melaksanakan perkara yang serupa di Semenanjung, terutama di kawasan panas yang mengalami peningkatan wabak terutama di Lembah Klang ini dengan peningkatan kadar vaksinasi, kita akan dapat melihat penurunan.
“Penurunan kes mungkin ambil masa sedikit tetapi yang kita mahu lihat ialah penurunan dari segi kemasukan pesakit yang serius dalam wad kita iaitu mereka yang memerlukan wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan mereka yang meninggal dunia.
“Seperti yang kita maklum, sebagai contoh jumlah kes kita semalam 20,596, tetapi mereka dalam kategori 4 dan 5 yang memerlukan penjagaan di ICU dan alat bantuan pernafasan adalah 0.9 peratus manakala kategori 3 adalah 1 peratus,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, hasil penjujukan genom yang dijalankan terhadap 1,668 sampel didapati sebanyak 409 daripadanya adalah jenis varian yang membimbangkan (VOC).