Kutipan darah menurun ketika pandemik – Dr Noor Hisham

KUALA LUMPUR : Peningkatan kes Covid-19 telah menyaksikan pengurangan kutipan darah yang ketara untuk seluruh negara terutamanya di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma yang tampil menderma.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan berkata ia berikutan kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.
“Tren penurunan ini amat membimbangkan dan boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit.
“Purata darah yang diperlukan setiap minggu adalah sebanyak 14,000 beg darah, termasuklah di Pusat Darah Negara (PDN) yang memerlukan 3,500 – 4,000 beg darah setiap minggu bagi pembekalan kepada hospital-hospital di Lembah Klang.
“Ini untuk membantu pesakit yang memerlukan, termasuklah pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kes kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang yang kekurangan darah, pesakit thalassemia, pesakit kanser, kegagalan buah pinggang serta mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal dan kompleks.
“Tambah pula kebelakangan ini terdapat ramai pesakit Covid-19 terutama mempunyai latar belakang penyakit kronik turut memerlukan transfusi darah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen dan petugas dalam memastikan proses pendermaan selamat.
“Setiap tabung darah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Garis Panduan Pencegahan dan Kawalan Semasa Aktiviti Pendermaan Darah Bagi Mengekang Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Covid-19 untuk meningkatkan keselamatan orang ramai.
“Garis panduan dikemaskini baru-baru ini selari dengan garis panduan antarabangsa. Antara SOP memastikan penderma darah dan petugas sihat sebelum memasuki ruang pendermaan.
“Ini termasuklah saringan awal dilakukan kepada bakal penderma iaitu hanya tiada gejala, tiada jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat pesakit Covid-19 bagi tempoh 14 hari sahaja boleh meneruskan pendermaan darah,” katanya.

Menurutnya, antara lain adalah memastikan penderma memakai pelitup muka, menjalani ujian suhu badan, mengimbas kod MySejahtera, pengisian borang deklarasi Covid-19 serta mencuci tangan dengan sabun atau pembasmi kuman sepanjang berada di lokasi pendermaan.
Tambah beliau, kedatangan penderma ke lokasi pendermaan dipantau dan dihadkan kepada bilangan tertentu pada satu masa untuk memastikan penjarakan fizikal sewaktu proses pendermaan.
Selain itu, pembersihan meja pendaftaran, peralatan pendermaan darah, katil penderma dan ‘stress ball’ yang digunakan selepas setiap kali pendermaan dilakukan secara berterusan oleh petugas kesihatan untuk mengekang penularan wabak.
Dalam pada itu, KKM menyeru orang ramai tampil menderma darah di PDN termasuk PDN Donation Suite, pusat beli-belah Midvalley, Suite Derma Darah Puspanita, Presint 10 Putrajaya dan Tabung-Tabung Darah berhampiran serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi.
Oleh Hafeez Anuar