Israel longgar sekatan di Gaza
GAZA: Israel semalam mengumumkan pihaknya akan melonggarkan beberapa sekatan di Gaza, termasuk perluasan zon penangkapan ikan yang dibenarkan, lapor agensi berita Xinhua .
Ketua Koordinasi Aktiviti Kerajaan, Ghassan Alian dalam satu kenyataan, berkata kemungkinan peralatan dan barangan boleh dibawa masuk ke Gaza esok termasuk bahan untuk projek yang dibiayai oleh masyarakat antarabangsa antaranya makanan, air, ubat-ubatan, dan alat penangkapan ikan.
Menurut kenyataan itu, penduduk Gaza akan dibenarkan melakukan perjalanan ke Jordan melalui Israel dan pihak Israel akan membenarkan kemasukan 29 kenderaan ke Gaza yang ditahan di pelabuhan Israel sejak Mei.
Katanya, sekatan itu dilonggarkan selepas membuat penilaian berhubung situasi keselamatan dengan mendapatkan persetujuan di peringkat politik.
Koordinator Jawatankuasa Nelayan di Gaza, Zakaria Bakker memberitahu Xinhua, Israel memaklumkan kepada pihak Palestin bahawa zon penangkapan ikan yang dibenarkan di luar pantai Semenanjung Gaza akan diperluas sehingga 12 batu nautika mulai semalam.
Empat hari lalu, Israel melarang zon penangkapan ikan di luar pantai Gaza sebagai tindak balas terhadap pelancaran belon api ke arah Israel pada 25 Julai lalu, yang menyebabkan kebakaran dan kerugian besar.
Israel melaksanakan sekatan ketat di Semenanjung Gaza selepas kumpulan pejuang Hamas mengambil alih kawalan pesisir pada 2007.
Israel memperketat sekatan ketika pertempuran 11 hari dengan kumpulan Hamas, berakhir 21 Mei yang menyebabkan lebih 250 rakyat Palestin dan 13 penduduk Israel terkorban.
– BERNAMA