Fesyen sopan, antara tumpuan Sidang Kemuncak Kazan 2021
Fesyen menutup aurat semakin mendapat sambutan

KUALA LUMPUR : Fesyen sopan adalah trend terkini dalam pasaran dunia fesyen. Ia adalah fesyen yang mampu memberikan keselesaan kepada pemakai dan juga memberikan keuntungan kepada penjual.
Menurut Laporan Ekonomi Islam Global 2020/21, perbelanjaan untuk fesyen itu dianggarkan US$277 bilion pada 2019, dan dijangka mencecah US$311 bilion pada 2024.
Bagaimanapun, pengasas bersama Modest Fashion Weeks (Istanbul-London-Dubai-Jakarta- Amsterdam), Franka Soeria, memaklumkan jenama yang menampilkan fesyen sopan atau menutup aurat sukar bersaing dengan penggiat fesyen arus perdana.
Beliau berkata jenama fesyen itu perlu mewujudkan ekosistem yang lebih kukuh dan lebih menitikberatkan aspek kualiti, edaran serta promosi untuk memastikan jenama mereka mampu untuk bersaing.
“Pasaran sudah kukuh dan kita perlu lebih berinovasi dengan mengekalkan identiti dan keasliannya. Kita boleh adakan kerjasama dengan pelbagai jenama dari Eropah, Asia Tenggara, Afrika dan Asia Selatan,” katanya pada Sidang Kemuncak Kazan ke-12: Rusia-Dunia Islam pada Rabu,
Sementara itu, pengasas bersama platform MODEST RUSSIA, Dilyara Sadrieva, berkata sebelum ini gaya sopan ini sering dikaitkan dengan pakaian Muslim, tetapi kini ia dianggap sebagai fesyen untuk semua orang.
“Fesyen itu semakin mendapat perhatian dan mempunyai pasaran yang kukuh di Rusia,” katanya.
Sidang Kemuncak Kazan ke-12 bermula Rabu di Kazan, ibu negara republik Tatarstan Rusia dan berlangsung dalam dua format – bersemuka dan dalam talian.
Bermatlamat meningkatkan hubungan perdagangan dan ekonomi, saintifik-teknikal, sosial, dan budaya antara Rusia dan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Sidang Kemuncak Kazan telah menyaksikan lebih 4,000 pengunjung.
Selain membincangkan mengenai kewangan, industri halal, diplomasi dan perubatan belia, Modest Fashion Day menjadi tarikan utama pada sidang kemuncak itu dengan 10 pertunjukan fesyen oleh pereka ternama termasuk Measure, SAHARA, ZUHAT dan Su.Su.
— BERNAMA