Covid19Semasa

Penggunaan ujian kit kendiri dibenarkan tetapi perlu dilapor dalam MySejahtera

Supaya KKM dapat memantau

PUTRAJAYA : Antara kemudahan terkini dalam melawan covid-19 ialah penggunaan ujian kit kendiri bagi mengesan sama ada individu tersebut positif ataupun negatif covid-19.

Sebarang hasil keputusan dengan menggunakan kit kendiri itu perlu dilaporkan kepada Kementerin Kesihatan (KKM) melalui aplikasi My Sejahtera dan ini termasuklah keputusan yang tidak sah (invalid).

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, pengguna perlu bertanggungjawab melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Sekianya keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau mana-mana Klinik Kesihatan (KK) untuk tujuan penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya keputusan negatif tetapi individu berkenaan bergejala, mereka turut dinasihatkan hadir ke klinik swasta atau KK untuk penilaian sama, manakala untuk keputusan invalid, pengguna perlu ulang semula ujian,” katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini.

Sehingga Khamis lepas, KKM melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sudah memberi kelulusan bersyarat kepada tiga jenis kit ujian kendiri COVID-19 untuk dijual dan diguna di negara ini.

Kit-kit tersebut adalah Kit Ujian Pantas Antigen Salixium COVID-19 buatan syarikat tempatan; Reszon Diagnostics International Sdn Bhd; Gmate® COVID-19 buatan Korea Selatan dan Beright COVID-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co., Ltd.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button