KANGAR : Islam mengajar umatnya untuk berbuat baik kepada orang yang lebih dewasa. Ini seperti hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A. bahawa telah datang seorang tua kepada Nabi S.A.W, dan orang ramai melambatkan pergerakan untuk memberikan ruang kepadanya. Lalu Baginda S.A.W bersabda:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَرْحَمْ صَغِيرَنَا وَيُوَقِّرْ كَبِيرَنَا
Yang membawa maksud, bukanlah daripada golongan kami barang siapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan tidak menghormati orang dewasa. Hadis Riwayat Imam Tirmizi: 1919.
Pada hari pertama Program Ibadah Qurban 2021, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengadakan kunjungan ke rumah-rumah di sekitar Perlis yang telah disenaraikan oleh pihak kariah masjid.
Pengagihan daging qurban dimulakan di Kampung Guar Lepai, Perlis diketuai Ketua Aktivis MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery dan diiringi Bendahari MAPIM Malaysia, Kapten Hj Faris Hussain.
Setibanya MAPIM Malaysia di rumah yang pertama, kelihatan susuk tubuh sedang terbaring berbantal lengan dan beralaskan tikar getah, mengambil udara angin petang ditemani sang isteri duduk bersimpuh di hadapan pintu rumah.
Rumah pusaka yang beratapkan zink menjadi tempat berteduh buat kedua pasangan warga emas Saad Mat Isa, 95 dan Safiah Bakar, 80.
Ketibaan kami disambut dengan lirikan senyuman Saad dan Safiah yang nampak bersemangat.
Semangat mereka sangat mengagumkan walaupun setelah sekian lama tinggal berdua sejak kehilangan satu-satunya anak lelaki beberapa tahun yang lalu.
Isteri arwah anak pasangan ini tinggal di belakang rumah mereka. Chedah, 67, menjadi tonggak buat kedua-dua warga emas ini untuk terus hidup bahagia. Beliau sentiasa berkorban dan berbakti menjaga segala keperluan dan makan minum Saad dan Safiah.
Menurut Chedah, pada awalnya kedua-dua mertuanya seolah-olah hilang harapan untuk menjalani kehidupan dan menjadi tidak keruan selepas pemergian anak lelaki mereka.
Namun, dengan usaha Chedah yang tidak putus-putus menjaga mereka dan memberi semangat serta iringan doa, kini, Saad dan Safiah kembali kuat dan mampu untuk berbual dengan sesiapa yang datang ke rumah mereka.
“Kalau dahulu, susah mak ayah nak bercakap dengan orang sejak suami saya pergi. Makan tidak minum pun tak mahu. Tapi saya tak putus asa, saya doa banyak-banyak dan beri semangat pada mereka. Alhamdulilah, saya bersyukur mereka kembali senyum. Allah dengar doa saya.”
Kedatangan MAPIM Malaysia ke rumah pasangan warga emas ini menjadi lebih bermakna. Ibadah qurban menjadi saksi erti sebuah pengorbanan yang dipamerkan oleh Chedah buat kedua-dua mertuanya ini. Kesungguhan beliau untuk mengembalikan senyuman ibu bapanya membuahkan hasil.
Tiada kata yang dapat diungkapkan bagi menggambarkan ketabahan Saad, Safiah, dan Chedah dalam mengharungi pelbagai rintangan, dan diuji dengan kehilangan insan tercinta. Itu semua tidak mematahkan semangat mereka untuk terus mengharungi kehidupan dengan penuh semangat.
Semogaa ia menjadi inspirasi untuk semua.
Mengulas lanjut, (Dr.) Sani Araby Al Kahery berkata :
Bila kita bagi daging qurban, ada yang sebak dan ada yang terharu. Inilah masanya kita zahirkan semangat kasih sayang sesama kita sebagai keluarga besar Malaysia dengan kongsi rezeki yang diajarkan oleh Islam menerusi korban. Semoga usaha kerdil ini dapat ukirkan senyuman dan ringankan beban menghayati erti pengorbanan dengan kita berkongsi rezeki . Hanya Allah sajalah sebaik pembalas jasa kebaikkan sahabat semua atas kebaikkan juga.”
Oleh : Nurshazlin Shahrom
AYUH KITA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA UNTUK NEGARA
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan kesusahan dalam negara lanjutan lock down dan covid-19. Ramai hilang pekerjaan dan dibebani dengan ujian
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038