Rawang : Di sebalik kemegahan bangunan-bangunan flat di Bukit Beruntung, di Flat Seri Dahlia, Flat Kenanga, dan Flat Teratai, tersimpan ribuan kisah penghuninya. Ada kisah bahagia, dan banyak pula kisah duka. Apatah lagi dalam musim pandemik covid-19, yang memaksa ramai penghuni flat masuk ke dalam golongan b40 dan asnaf.
MAPIM Malaysia melalui wakilnya di Bukit Beruntung, Mohamad Amir Azamuddin bin Mohd Sabri memaklumkan bahawa dia dengan bantuan Encik Rahim sudah mengumpulkan lebih kurang 40 senarai nama keluarga yang perlu dibantu atas pelbagai sebab.
Antaranya adalah keluarga Muhrisin yang bekerja sebagai pendawai elektrik. Semasa musim PKP, perkhidmatan pendawaian elektrik tidak ada permintaan dan ia menyukarkan beliau bagi menyara keluarganya. Beliau mempunyai enam orang anak, manakala isterinya pula menderita kencing manis dan kakinya terpaksa dipotong. Keadaan itu memaksa keluarga Muhrisin hidup dengan penuh jimat cermat. Makanan bercatu asalkan semua ahli keluarganya masih dapat mengisi perut.
Kisah pilu yang sama dihadapi oleh keluarga Normah binti Abdul Malik. Beliau merupakan suri rumah dan mempunyai empat orang anak. Suaminya juga menghidap kencing manis dan membuatkannya sukar berjalan, dan tidak mampu bekerja. Tiga orang anaknya sudah bekerja dengan gaji minimum. Manakala anak bongsunya yang berumur 21 tahun belum mendapat pekerjaan, dan dia lah yang menjaga Puan Normah dan suami. Walaupun dengan bantuan anak-anaknya yang sudah bekerja, tetapi ia masih belum mencukupi kerana anak-anaknya juga ada kehidupan mereka sendiri. Apa yang ada, itulah yang mereka makan.
MAPIM Malaysia turut menyantuni ibu tunggal di flat Bukit Beruntung. Puan Zurainah bt Azlin, ibu tunggal yang mempunyai dua orang anak berumur 13 dan 9 tahun. Beliau yang bekerja kilang makanan baru sahaja diberhentikan kerja seminggu yang lepas. Sebelum ini beliau menerima bantuan zakat, dan tanpa kerja masa hadapannya nampak semakin kelam.Â
Ketika menemui wakil MAPIM Malaysia, jelas pada nada suaranya ketabahan sebagai seorang ibu yang akan berjuang untuk anak-anaknya. Walaupun pada masa yang sama kedengaran dia sendiri bingung mengenangkan masa hadapan yang tidak menentu.
Fatin Nur Syazana adalah seorang suri rumah. Suaminya pula adalah seorang mekanik motosikal dan mereka mempunyai empat orang anak. Pendapatan suaminya terjejas semenjak covid-19 melanda. Bertambah malang, suaminya tidak dapat bekerja lain kerana suaminya kurang upaya akibat kemalangan jalan raya.Â
Sebelum ini keluarga Fatin Nur Syazana menerima bantuan zakat sebelum suaminya dengan jiwa yang besar mengatakan dia mampu menyara keluarga. Namun, lain pula yang terjadi apabila covid-19 melanda. Kini beliau terpaksa hidup dengan memikirkan apa lagi yang mereka hendak makan pada esok harinya.
Haslina binti Ibrahim pula seorang suami rumah dan suaminya juga tidak bekerja kerana didapati positif covid-19. Sehingga kini suaminya belum dipanggil lagi untuk bekerja di kilang di Shah Alam. Mereka mempunyai empat orang anak. Dua orang bersekolah, dan yang dua orang lagi berumur tiga tahun dan tiga bulan. Buat masa ini, bagi menampung perbelanjaan keluarga, mereka terpaksa menjual makanan secara kecil-kecilan. Ada jugalah pendapatan tetapi ia jauh daripada mencukupi bagi menampung kehidupan keluarga mereka.
Untuk Hasnita binti Endut pula lain kisahnya. Suaminya seorang OKU kerana kemalangan jalan raya dan terpaksa dimasukkan besi ke dalam kakinya. Sebelum ini suaminya bekerja di PENGASIH Sungai Buluh. Namun dengan pelaksanaan PKP, suaminya sudah tidak dapat pergi bekerja. Mereka ada dua orang anak, seorang sekolah menengah dan seorang sekolah rendah. Kini mereka hanya hidup dengan bantuan zakat, RM450, sedangkan sewa rumahnya sahaja RM300.
Hamidah binti Razali pula seorang balu. Suaminya meninggal 2019. Beliau sekarang tinggal bersama dengan anak-anaknya. Anaknya ada lima orang dan semuanya sudah dewasa. Namun tiga orang anaknya sudah tidak bekerja sejak covid-19 melanda. Ada anaknya yang bekerja dalam sektor perhotelan dan gunting rambut yang semuanya terpaksa ditutup. Manakala seorang lagi anaknya yang bekerja kilang baru sahaja diberhentikan minggu lepas. Itu menjadikan Puan Hamidah dan keluarga berada dalam keadaan yang tertekan dan sukar. Namun mereka tidak ada pilihan selain terpaksa juga melalui keadaan ini dengan penuh sabar.
Menurut Setiausaha MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol,
“Kita dapat lihat dan dengar hari ini kisah-kisah sedih dan memilukan daripada penghuni-penghuni flat di sini. Yang dahulu M40 jadi B40, yang B40 jadi asnaf, yang asnaf semakin daif. MAPIM Malaysia berusaha meringkankan beban mereka, baik daripada segi material dan juga emosi. Memang sumbangan ini kecil sahaja, tetapi untuk mereka, kecil besar bukan lagi ukuran, yang utama adalah tanda ingatan bahawa masih ramai yang peduli dan prihatin kepada nasib mereka. Semoga ia dapat mengurangkan beban ekonomi juga tekanan perasaan dan mereka mampu mengurus emosi diri dan keluarga dengan lebih baik.”
MARI LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KITA
#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara.
Sumbangan boleh dibuat melalui:Â www.BantuUmmah.com
ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu
1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016