Bangkok : Viral di media sosial gambar seekor gajah meruntuhkan dinding dapur sebuah rumah. Kejadian itu terjadi di daerah Hua Hin, Selatan Thailand. Pemilik rumah, Rachadawan Phungprasopporn bersama suaminya terbangun apabila mendengar bunyi bising dari belakang rumah.
Mereka dikejutkan dengan kedatangan seekor gajah jantan yang meruntuhkan dinding dapurnya. Gajah itu dengan menggunakan belalainya membuka kabinet dapur mengambil sekantung beras lalu memasukkan ke dalam mulutnya.
Gajah jantan itu bernama Plai Bunchuay yang berasal dari daerah yang sama. Gajah di daerah Hua Hin memang terkenal kerana sering melakukan kerosakan kepada tanaman penduduk di situ.
Suami Rachadawan terus menghalau gajah itu yang kemudiannya menghilang ke dalam hutan.
“Dua bulan lepas, gajah itu pernah datang melihat-lihat rumah ini, tetapi tidak melakukan sebarang kerosakan,” kata Rachadawan.
“Kami juga sudah memaklumkan perkara ini kepada pegawai perhilitan, dan mereka menasihati kami supaya tidak menyimpan makanan di dapur kerana baunya menarik perhatian gajah.”
Petugas dari Taman Nasional negara Gajah Putih ini, percaya gajah itu telah mengubah kelakuan mereka sebagai respons terhadap makanan yang disediakan oleh manusia. Petugas konservasi Supanya Chengsutha berkata, “Penjelasan yang paling mungkin untuk situasi ini adalah gajah mencium bau makanan dan ingin memakannya. Ini bukan kerana gajah itu sangat lapar, kerana makanan di hutan pun banyak dan sama sahaja.”
“Mungkin kerana gajah sudah sering bertembung dengan manusia, dan terbiasa memakan makanan yang diberikan oleh manusia, atau kerana gangguan daripada pemburu atau pembalak yang membuatkan gajah menuju ke kawasan penempatan manusia,” terangnya.
Thailand mempunyai 2000 ekor gajah liar yang hidup di hutan, dan memang sering terjadi konflik antara gajah dan manusia ketika berlaku pertembungan sama ada di jalan raya ataupun di kawasan kediaman.