Bantuan MAPIM Di GazaPalestin

Susah sangat ke NGO Malaysia nak masuk Gaza? – soalan popular netizen selepas mengikuti perkembangan Ustaz Ebit Liew

Sebuah perjalanan yang berliku

Apa yang susah sangat untuk NGO Malaysia memasuki Gaza? Itu pertanyaan yang sering ditanyakan oleh netizen semenjak Ustaz Ebit Liew dan pasukannya dipercayai masih lagi tersekat di Kaherah.

Mengikut rekod, antara NGO Malaysia yang terakhir dapat memasuki Gaza ialah MAPIM Malaysia, pada tahun 2019, dibawah pimpinan Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al Kahery.

Status Facebook Tuan Nadir semasa mengetahui kejayaan MAPIM memasuki Gaza

Memetik portal mStar yang menemuramah (Dr.) Sani, Kami sudah 12 tahun berada dalam bidang ini, kami tahu dari Kaherah, Mesir nak ke Rafah sangat susah, masa saya pergi tahun 2019 ada dekat 40 checkpoints yang dijaga tentera elit Mesir sebab semenanjung Sinai ini merupakan kawasan hot zone.

“Kita tak boleh pergi terus, saya ada pengalaman walaupun sudah ada surat pelepasan dari kerajaan Mesir sekali pun, separuh jalan, kami disuruh pulang sebab di kawasan sana dipimpin tentera bukan kerajaan memandangkan ia kawasan panas.”

Pemandangan dari dalam kenderaan untuk memasuki Gaza. Penuh berliku.

Ketika tahun 2014, MAPIM Malaysia pernah mencuba sebanyak 36 kali bagi memasuki Gaza, tetapi semuanya gagal. Mereka terus mencuba setiap tahun sehinggalah pada tahun 2018, MAPIM Malaysia baru mendapat keizinan kerajaan Mesir bagi memasuki Gaza.

Menurut (Dr.) Sani, “Pengalaman saya bersama Mapim kita pernah buat 36 kali percubaan masa tu bulan Ramadan dan mereka tengah berperang, jadi dari Kaherah nak seberang Terusan Suez untuk ke Rafah, kami diminta berpatah balik. Bila dah lepas Terusan Suez pun, tiba-tiba kena patah balik, saya pernah dapatkan surat kebenaran tapi masih tak lepas, jadi rakyat perlu faham, ini bukan kerja mudah.”

Walaupun kebenaran sudah dikeluarkan oleh kerajaan Malaysia untuk ke luar negara, tetapi bagi memasuki Gaza semuanya tertakluk kepada kerajaan Mesir.

Selalunya Mapim kalau dapat peluang untuk ke Gaza kita akan dimaklumkan hanya empat hari sebelum jadi boleh tengok (contoh) Heliza Helimi dan kami semua kelam kabut berlari ke lapangan terbang sebab walaupun permohonan dah hantar enam bulan awal, kelulusan hanya akan diberi empat hari sebelum.

“Jadi kami akan terus pergi ke Kaherah untuk tunggu deligasi dunia yang lain kemudian baru boleh masuk, tarikh itu ditentukan kerajaan Mesir kalau terlepas memang terlepaslah.

“Dari Kaherah ke Rafah, iaitu sempadan antara Mesir dan Gaza kita akan diiring oleh tentera Mesir, jadi kalau kita awal-awal dah terlepas memang tak boleh buat apa,” kata (Dr.) Sani.

Kepenatan. Almarhum Haji Abdul Aziz Abu Bakar, antara wakil MAPIM Malaysia yang tersekat di sempadan Gaza-Mesir.

Bagi memahami kesukaran tersebut, kita boleh bermula dengan mengkaji wilayah Palestin itu sendiri. Palestin mempunyai dua wilayah besar yang terpisah. Semenanjung Gaza dan Wilayah Tebing Barat. Baitulmuqaddis terletak di Tebing Barat, dan ketika waktu aman, pelancong mudah memasukinya melalui sempadan di Jordan. Malah pihak rejim zionis juga sangat mengalu-alukan kedatangan pelancong kerana ia turut menjana ekonomi mereka.

Namun lain kisahnya pula di Gaza. Ia wilayah yang dijadikan penjara terbuka oleh pihak rejim baik semasa aman apatah lagi ketika perang. Tentera rejim mengawal utara dan timur Gaza dengan senjata dan kawat berduri. Manakala barat Gaza yang disempadani oleh Laut Mediteranian pula dijaga oleh kapal-kapal peronda rejim yang dilengkapi meriam ringan. Di angkasa pula, drone rejim sentiasa berlegar-legar memerhati penuh curiga.

Rafah di selatan Gaza, yang bersempadan dengan Mesir sahaja tentera rejim tidak punyai kuasa. Namun ia tidak bererti apa-apa kerana pihak Mesir juga sangat ketat mengawal pintu masuk di Rafah.

Kisah kesukaran untuk memasuki Gaza bukan kisah yang baharu. Ia sudah berlangsung lama dahulu. Hanya ketika Almarhum Presiden Morsi berkuasa sahaja sempadan Rafah agak terbuka untuk dimasuki pelawat. Namun itu tidak sampai setahun sebelum Rafah kembali ditutup untuk orang luar, kerana kerajaan baharu Mesir tidak sejalan dengan Hamas yang menguasai Gaza. Risaukan pengaruh Hamas yang rapat dengan Iran, selain takut kehilangan bantuan Amerika Syarikat yang jumlahnya bilion dollar.

Hanya penduduk Palestin, bekalan makanan juga perubatan yang dibenarkan melintasi pintu di sempadan Rafah, dengan pemeriksaan yang cukup ketat. Ada lebih kurang 40 sekatan jalan di sepanjang gurun Sinai yang kering kontang sebelum sampai ke pintu sempadan Rafah. Selain itu, semuanya akan diarahkan berpatah balik.

Jadi adakah memang sudah tertutup pintu untuk NGO Malaysia memasuki Gaza?

“Buat masa sekarang, dengan keadaan covid-19 dan perang di Gaza baru sahaja selesai, memang pintu nampak seperti tertutup. MAPIM sendiri sudah memohon sebanyak empat kali, tetapi masih gagal. Tetapi ia bukan bermakna semuanya tertutup. Pintu Rafah sahaja tertutup, tetapi pintu bantuan masih terbuka. MAPIM sendiri sudah menghantar tiga buah kontena bantuan sebelum Ramadan tahun ini,” jawab (Dr.) Sani.

Kontena tersebut mengandungi barangan bantuan asas seperti hygiene pack, tepung gandum, peralatan dapur dan perabot rumah, bantuan untuk orang kurang upaya, tilam dan katil water tank, ubat-ubatan dan bekalan minyak untuk hospital

“MAPIM juga sudah sudah menghantar 10 ambulans yang dibeli di Mesir tetapi sebab ada pengalaman, tahu kaedah dan kami ada rakan-rakan dari United Kingdom, Perancis yang membantu… yang pasti ambulans itu sekarang sudah pun digunakan,” tambah (Dr.) Sani.

Malah sebenarnya ‘pintu bantuan’ itu semakin besar apabila MAPIM sendiri telah bergabung dengan hampir 20 rakan NGO yang lain bagi membentuk perikatan MyAqsa Defenders dan 100 lagi rakan NGO lain berada di bawah Aid For Palestine.

Kesatuan ini adalah bagi melancarkan gerak kerja dan berkongsi pengalaman untuk membantu penduduk Palestin, dan juga sebagai tanda kesatuan para NGO di Malaysia bagi memudahkan urusan memasuki Gaza kelak.

“Tanpa kesatuan ini, perjuangan kita mungkin akan mengambil masa lebih panjang, mahal, dan sukar.”

Ditanya apa keperluan NGO bagi memasuki Gaza sekiranya ‘pintu bantuan’ itu terbuka luas?

(Dr.) Sani menjawab, “Ia tentang solidariti. Tidak cukup hanya barangan bantuan sahaja yang mewakili kita. Amerika pun hantar bantuan kepada Palestin. Perlu ada tubuh kita sendiri di sana. Mereka perlu rasa salaman tangan kita, rasa pelukan erat kita. Perlu ada roh dan semangat yang boleh kita tiupkan kepada rakan-rakan di Palestin. Itulah yang mereka sangat perlukan sekarang. Sokongan moral bukan sahaja untuk penduduk Palestin, tetapi bagi menunjukkan kepada dunia terutamanya rejim zionis, bahawa Palestin tidak bersendirian.”

Solidarati kepada penduduk Gaza. Melawat antara mangsa kekejaman rejim
Bersama mendoakan keselamatan semasa di bumi Gaza.

Selain itu MAPIM Malaysia juga mempunyai beberapa buah projek yang sedang berjalan di Gaza. Yang mana projek-projek itu perlu dipantau bagi memastikan kelancarannya. Selain itu ia juga bagi melihat sendiri apakah keperluan lain yang diperlukan oleh penduduk dan seterusnya mengadakan kerjasama dengan pihak berkuasa Palestin dan juga NGO-NGO di sana.

Memantau sendiri Masjid Umar Abdul Aziz, masjid ke-8 MAPIM Malaysia di Gaza yang dibedil zionis.
Kerjasama dengan pihak berkuasa Palestin untuk enam sektor yang kritikal.
Kerjasama dengan rakan NGO Persatuan Cinta Gaza Malaysia di Gaza, yang diasaskan oleh Nadir Al Nuri.

Melawat dan memantau antara projek MAPIM Malaysia di Gaza

“Kita juga minta semua rakyat Malaysia mendoakan Ustaz Ebit Liew selamat di sana. Semoga dengan izin Allah ada peluang dan kesempatan beliau dapat masuk ke Gaza. Sekiranya tidak pun, saya yakin Ustaz Ebit dan pasukan sudah mendapat pengalaman yang sangat berharga. Mereka tidak rugi apa-apa.”

Dalam perkembangan yang berlainan, MAPIM Malaysia akan melakukan pecah tanah bagi membina tiga apartment yang dijangka dapat memuatkan lebih kurang 100 penduduk di Gaza dalam masa terdekat.

________________________________________________________________________________

MASA UNTUK BERTINDAK!
Sumbangan anda untuk rakyat Palestin yang menderita sangat diperlukan.

Klik :
http://tabunggaza.com

ATAU
menerusi Akaun Maybank
Dana MAPIM :
5628 3463 6620

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu 1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016

Ikuti update terkini
https://t.me/MapimMalaysia

Related Articles

Back to top button