JANGAN tekan pautan ini – https://pbebankonline.com
Jangan beri data peribadi, maklumat perbankan elak wang anda lesap!
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia hari ii menasihatkan orang ramai supaya tidak menekan pautan https://pbebankonline.com dan memasukkan data peribadi, maklumat perbankan dalam talian serta kata laluan bagi mengelak wang simpanan lesap.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Muhammad Yazid Muhammad Yew, berkata pautan dihantar melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) itu antara modus operandi baharu penjenayah bagi menipu mangsa.
“Pada jam 7.20 malam kelmarin, sebuah balai di Petaling Jaya menerima laporan berkaitan penipuan pautan dikatakan dari sebuah bank melalui pesanan ringkas.
“Wanita berusia 51 tahun bekerja di sektor swasta itu menerima pautan berkenaan mengatakan akaun mangsa berisiko tinggi untuk terdedah kepada pihak ketiga.”
“Mangsa menekan pautan https://pbebankonline.com dan mengikut arahan diberikan untuk memasukkan maklumat peribadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Yazid berkata, wanita terbabit kemudian membuat semakan dan mendapati wang dalam akaunnya lesap.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan setakat ini, ada dua kes sama dilaporkan di Selangor, membabitkan kerugian berjumlah RM33,500,” katanya. – BH