Semasa
Helikopter Terhempas, Juruterbang & Pembantu Juruterbang Cedera
Punca kejadian masih dalam siasatan
SUBANG 24 Mac 2021 : Seorang juruterbang dan pembantu juruterbang cedera manakala tiga penumpang terselamat selepas helikopter yang dinaiki mereka terhempas di kawasan kargo Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pagi ini.
Juruterbang dan pembantu yang berusia 55 hingga 53 tahun itu mengalami patah kaki.
Kejadian dipercayai berlaku jam 9:25 pagi ketika helikopter jenis Airbus H125 menerbangkan lima lelaki.
Memetik laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 9:47 pagi.
“Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dengan lima pegawai dan anggota bergegas ke lokasi. Sebaik tiba di lokasi terdapat lima mangsa dalam keadaan stabil dan helikopter berkenaan tidak mengalami kebakaran.” jelas Norazam Khamis
Menurutnya lagi, seorang lelaki patah kaki kanan dan seorang lagi cedera ringan di kaki, manakala tiga lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Semua mangsa menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut. Punca kejadian masih dalam siasatan.”