PARIS 2 Mac : Sebuah mahkamah di Perancis pada Isnin mensabitkan bekas presiden, Nicolas Sarkozy bersalah melakukan rasuah dan menyalahgunakan kuasa serta dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, termasuk dua tahun tempoh parol.
Mahkamah mendapati Sarkozy bersalah kerana mencadangkan pekerjaan berprestij di Monaco kepada seorang pendakwa sebagai pertukaran maklumat mengenai pertuduhan beliau yang memanfaatkan kelemahan mental pewaris mendiang L’Oreal, Liliane Bettencourt, untuk menikmati sumbangan secara tunai bagi membiayai kempen presidennya pada 2007.
Peguam Sarkozy, Thierry Herzog dan bekas Majistret Gilbert Azibert dijatuhi hukuman yang sama atas tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan membocorkan maklumat sulit, lapor Agensi Berita Xinhua.
“Mereka tahu dan sedar tindakan mereka adalah salah,” kata hakim Christine Mee.
Sarkozy, 66, bekas presiden kedua di Perancis yang dijatuhi hukuman undang-undang.
Sebelum ini, Jacques Chirac, presiden Perancis dari tahun 1995 hingga 2007, yang meninggal dunia pada September tahun lalu, dijatuhi hukuman penjara dua tahun pada 2011 kerana mewujudkan jawatan palsu untuk anggota partinya semasa menjadi Datuk Bandar Paris pada 1990-an.
Di bawah undang-undang Perancis, Sarkozy tidak perlu menjalani hukuman di penjara dan beliau boleh memakai gelang elektronik.
Sarkozy, yang memimpin Perancis dari 2007 hingga 2012, mempunyai 10 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. – BERNAMA