Kantin ditutup akibat covid namun pekerja kantin ini tetap cuba tersenyum
Selepas setahun menunggu
Sabak Bernam : Semasa MAPIM Malaysia sampai ke rumah Jamaliah binti Mohamad Rashid, wakil MAPIM agak terkejut. Pada mulanya mereka menjangka akan disambut dengan pemandangan rumah uzur yang sayu. Ini kerana nama Puan Jamaliah tersenarai dalam penerima bantuan Misi Ummah Bantu Ummah anjuran MAPIM. Senarai yang disediakan oleh pimpinan tempatan kerana MAPIM sentiasa bekerja rapat dengan pihak berkuasa tempatan. Namun wakil MAPIM sedang berdiri di hadapan sebuah rumah yang cantik dan kukuh walaupun kecil.
Apabila ditanyakan perkara itu kepada Puan Jamaliah, dia menjawab, “Ini rumah baru sumbangan pihak zakat selepas rumah lama dah roboh. Baru dua bulan duduk. Setahun jugalah duduk menumpang.”
Walaupun Puan Jamaliah boleh menarik nafas lega dengan rumah yang sudah sempurna sifatnya berbanding rumah sebelum ini yang sangat uzur, namun beliau tetap tidak dapat menyembunyikan keresahannya tentang masa hadapan. Beliau yang masih menanggung anak-anaknya yang masih bersekolah, kini tidak punya pendapatan tetap.
Sebelum ini Puan Jamaliah bekerja di kantin sekolah, namun pandemik covid-19 membuatkan sekolah tutup dan kantin juga ikut ditutup. Dia ikut hilang pekerjaan. Keadaan itu amat membebankan kerana pada malam harinya dia akan terpaksa memikirkan apa lagi yang hendak dimakan pada esok harinya. Kini beliau terpaksa bergantung harap pada wang bantuan.
MAPIM Malaysia kagum dengan semangat Puan Jamaliah. Dia masih berusaha melindungi keresahan hatinya walaupun dalam suasana ekonomi yang begitu menekan. Apabila berbual dengannya, nada suara terdengar lembut dan penuh pengharapan. Semoga pembukaan sekolah nanti akan memberikan harapan yang dia nantikan.
Wakil MAPIM Malaysia berbesar hati menghulurkan bantuan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia kepada Puan Jamaliah sekeluarga. Ia berupa bantuan makanan asas yang cukup untuk sebulan. Semoga dengan bantuan kecil ini dapat memberikan ketenangan kepada Puan Jamaliah.
Menurut Tuan Haji Faris Hussain, Ketua Misi Ummah Bantu Ummah, “Saya mengharapkan ini membuka mata kita semua. Ada yang akan mempersoalkan mengapa kita beri bantuan kepada orang yang rumahnya cantik, tetapi mereka tidak tahu apa kisah di sebalik rumah cantik itu. Contohnya hari ini, rumahnya cantik tetapi ia bantuan daripada zakat, dan penghuninya pula masih perlukan bantuan. Semoga kita semua terhindar daripada sebarang fitnah dan menyebar fitnah.”
MAPIM Malaysia juga mengharapkan lebih banyak sumbangan daripada rakyat Malaysia yang dermawan, supaya lebih ramai yang senasib dengan Puan Jamaliah dapat dibantu.
#MisiUmmahBantuUmmah
MAPIM Malaysia membuka peluang kepada orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan bencana dan kemiskinan dalam dan luar negara dengan hanya RM200, RM300 & RM500 untuk pelbagai bantuan meliputi makanan, pembaikan rumah asnaf dan juga perkhidmatan sokongan perubatan menerusi mobile klinik.
Sumbangan boleh dibuat melalui: www.BantuUmmah.com
ATAU menerusi Akaun Maybank TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM 562263-540066
MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi talian Hotline MAPIM Malaysia iaitu
1300-888-038 (Isnin-Jumaat 9am-6pm) atau whatapps 012-800-2016