401,105 pelajar duduki SPM 2020 hari ini!
Catat sejarah hadiri sesi kelas SPM tahunan terpanjang - hampir 14 bulan
KUALA LUMPUR – 22 Feb : Seramai 401,105 pelajar di seluruh negara mula menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 hari ini.
Semua calon berkenaan menduduki peperiksaan itu – yang sepatutnya bermula pada November lalu – dalam suasana negara masih berdepan pandemik COVID-19.
Jika dulu calon bersedia dari sudut mental, kesihatan dan kelengkapan alat tulis, kali ini mereka menambah keperluan yang ada, pelitup muka atau pelindung muka dan juga alat sanitasi.
Semua ini semata-mata bagi mencegah penularan wabak Covid-19, yang menuntut mereka lebih waspada dan menjaga batasan ketika berada di kawasan sekolah.
Hari ini sebagai hari pertama peperiksaan calon akan menjawab subjek Bahasa Melayu Kertas 1 dan 2, masing-masing bermula pukul 8 pagi dan 2 petang.
Kumpulan pelajar Tingkatan Lima termasuk pelajar Sijil Vokasional Malaysia (SVM) itu menjadi kumpulan pertama yang menduduki peperiksaan SPM dalam budaya norma baharu peperiksaan.
Menjelang peperiksaan bukan calon disiapkan dengan kawalan ketat, tidak boleh bertemu ornag luar bagi merea yang tinggal di asrama, malah yang tinggal di luar diharuskan mengambil suhu badan.
Semua pelajar juga diwajibkan menyerahkan borang deklarasi kesihatan sehari sebelum memasuki dewan peperiksaan.
Manakala 3,310 pusat peperiksaan SPM di seluruh negara pula diperlukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan (KKM), termasuklah proses disinfeksi di dewan peperiksaan.
Memetik Bernama, seramai 48,014 pengawas peperiksaan akan memastikan SOP yang ditetapkan dipatuhi sepenuhnya sepanjang tempoh peperiksaan yang dijadualkan berlangsung hingga 25 Mac.
Calon SPM pada hari ini juga merupakan kumpulan pelajar yang telah mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang iaitu hampir 14 bulan yang memaksa mereka beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet, Google Classroom dan Skype gara-gara penularan pandemik COVID-19.
Peperiksaan SPM, SVM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) diadakan pada November setiap tahun, namun bagi tahun 2020, peperiksaan terbabit terpaksa ditangguh kepada Januari 2021 sebelum dianjak sekali lagi kepada Februari 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19 yang memaksa penutupan sekolah.
Kami di UmmahToday mengucapkan selamat menjawab kepada semua calon SPM 2020, semoga menjawab dengan tenang dan betul.