998 kawasan di Selangor akan alami gangguan bekalan air bermula 13 Oktober
Susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal.
SHAH ALAM : Sebanyak 998 kawasan di sekitar Selangor akan mengalami gangguan bekalan air berjadual pada 13 Oktober ini bermula jam 9 pagi susulan pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyelenggaraan aset-aset kritikal.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset-aset kritikal akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).
“Kawasan yang terlibat adalah Wilayah Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Kuala Lumpur, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.
“Gangguan bekalan air dijangka akan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam, 16 Oktober 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pelaksanaan kerja-kerja ini telah tertangguh daripada jadual asal iaitu pada tahun 2019 dan 2020 berikutan insiden pencemaran air yang menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual berskala besar.
Pelaksanaan kerja-kerja ini telah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi menaiktaraf sistem bekalan air demi keselesaan para pengguna pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Air Selangor menasihatkan para pelanggan yang terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
Tambahnya lagi, pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual ini dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Air Selangor di talian 15300
Senarai kawasan yang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual boleh didapati di laman pautan hentitugas.airselangor.com.Sebarang pertanyaan dan aduan boleh diajukan di Help Centre di laman sesawang www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.
Oleh Hafeez Anuar