DuniaSemasa

84 maut, ribuan rumah musnah banjir di Sudan

KHARTOUM : Lebih 80 penduduk maut dan ribuan rumah musnah susulan hujan lebat dan banjir yang melanda Sudan sejak Isnin lalu.

Jurucakap Majlis Pertahanan Awam Kebangsaan Sudan, Abdel Jalil Abdelreheem berkata, kematian berkenaan berpunca daripada lemas, terkena renjatan elektrik dan dihempap runtuhan bangunan.

“Keseluruhannya 84 orang maut dan 67 lagi cedera membabitkan 11 negeri di Sudan, sejak bermulanya musim hujan,” katanya.

Dalam pada masa sama, beliau juga mengesahkan sebanyak 8,408 rumah musnah setakat ini dan lebih 27,200 premis rosak.

Antara Jun hingga Oktober, Sudan berdepan dengan hujan lebat sehingga mengakibatkan banjir dan kemusnahan harta benda.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kira-kira 102,000 penduduk terjejas akibat bencana itu sejak Julai lalu, manakala hampir 50 kampung tenggelam dan 65,000 orang termasuk pelarian di Sudan Selatan terpaksa dipindahkan.

Tahun lalu, bencana banjir memaksa Sudan mengisytiharkan darurat selama tiga bulan, dengan 650,000 rakyatnya terjejas dan kemusnahan lebih 110,000 rumah.

AFP

Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button