Semasa

670 syarikat Eropah dikaitkan dengan penempatan haram Israel

BAITULMAQDIS : Lebih 670 institusi kewangan Eropah mempunyai hubungan dengan syarikat-syarikat yang terlibat dalam penempatan Israel di Tebing Barat yang diceroboh.

Laporan dari 25 pertubuhan Palestin, serantau dan Eropah menuntut syarikat-syarikat tersebut “menghentikan semua pelaburan dan aliran kewangan” yang dianggap tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa.

Penemuan ini memperincikan urus niaga kewangan bernilai $ 255 bilion (RM912 billion) antara 2018 dan Mei 2021 yang secara langsung atau tidak langsung berkaitan dengan penempatan  termasuk pinjaman atau pembelian saham dan bon – yang melibatkan firma utama Eropah seperti BNP Paribas dan Deutsche Bank.

Dalam pada itu, lebih dari 600,000 warga Yahudi Israel tinggal di penempatan di Tebing Barat dan Baitulmaqdis timur, wilayah Palestin yang dirampas oleh Israel dalam Perang Enam Hari 1967.

Banyak syarikat besar Israel aktif dalam komuniti tersebut, termasuk bank terkemuka seperti Leumi dan Hapoalim, penyedia telekomunikasi dan internet dan rangkaian pasar raya, antara lain.

Sebagai contoh, banyak syarikat Eropah yang disebut-sebut terlibat kerana mereka memiliki saham dalam firma bukan Israel, seperti syarikat gergasi mesin Caterpillar, yang produknya telah digunakan di penempatan itu.

Gabungan Don’t Buy Into Occupation yang menghasilkan laporan itu mengatakan syarikat-syarikat Eropah ini “mempunyai tanggungjawab untuk memastikan bahawa mereka tidak terlibat dalam pelanggaran undang-undang antarabangsa dan tidak terlibat dalam jenayah antarabangsa”.

Tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengeluarkan senarai 112 syarikat dengan aktiviti di penempatan Israel, termasuk Airbnb, Expedia dan TripAdvisor.

Senarai itu dibuat oleh pejabat hak asasi manusia PBB sebagai tindak balas kepada resolusi Majlis Hak Asasi Manusia yang menuntut “pangkalan data” firma yang mendapat keuntungan dari perniagaan di wilayah Palestin yang dijajah.

Langkah PBB, yang dikecam hebat oleh Israel dan disanjung oleh rakyat Palestin, dilihat sebagai kemenangan untuk gerakan Boikot, Divestasi dan Sekatan, yang bertujuan untuk mengasingkan Yahudi daripada apa yang digambarkannya sebagai penganiayaan terhadap rakyat Palestin.

Keputusan pembuat ais krim Amerika Ben & Jerry pada bulan Julai untuk menghentikan penjualan produk mereka di wilayah Palestin yang dijajah juga mendapat kritikan keras dari Israel dan tepukan dari aktivis BDS.

Untuk rekod, lebih daripada tiga juta penduduk Palestin tinggal di Tepi Barat dan Baitulmaqdis timur yang dikuatkuasa oleh Israel.

-AGENSI

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button