61 pelajar, 15 guru berdepan detik cemas sekolah terbakar
Jeritan pelajar elakkan kejadian lebih buruk
Seramai 61 pelajar, 37 lelaki dan 24 perempuan serta 15 guru Sekolah Menengah Agama Majlis Darul Ehyail Maarif, Kampung Ulu Cheka, Jerantut, Pahang berdepan detik cemas apabila sebahagian bangunan sekolah itu terbakar pagi tadi.
Tindakan pantas beberapa pelajar menjerit meminta rakan mereka keluar kelas sebelum kebakaran merebak berjaya mengelak kejadian tidak diingini menimpa mereka dan guru.
“Saya terdengar berapa pelajar yang berada di kelas berdekatan dengan asrama berteriak sambil menunjukkan api mula merak dari bangunan asrama.
“Saya turut menjerit mengarahkan semua pelajar tingkatan tiga dan lima yang berada di blok sama keluar menyelamatkan diri termasuk pelajar di kelas blok bersebelahan ke tempat selamat, ” katanya kepada pemberita.
Katanya, asrama itu hanya dihuni 14 orang pelajar lelaki dan terdapat sebuah dewan serba guna yang kosong dan dua kelas pembelajaran.
Kejadian cemas itu dirakam dan disiarkan Youtuber Channel petang tadi.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut, Mohamad Zulkifli Mohamad Zainal, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 9.20 pagi dan sampai lokasi yang terletak 36 kilometer dari balai pada jam 9.49 pagi.
“Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 10 pagi. Ketika pasukan bomba sampai ke lokasi kejadian, api sedang marak di bangunan asrama, dewan mini dan kelas pengajian,” katanya.
Beliau berkata, kebakaran itu membabitkan asrama pelajar lelaki, kelas pengajian dan dewan mini dan kemusnahan bangunan dianggarkan 80 peratus manakala punca kebakaran dalam siasatan.