6 sekeluarga melecur dalam insiden rumah terbakar
SEKINCHAN : Enam sekeluarga melecur ketika sedang menyelamatkan diri apabila rumah didiami terbakar di Jalan Makmur, Pasir Panjang, awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 3.04 pagi.
Beliau berkata,16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar bergegas ke lokasi kejadian.
“Enam mangsa berusia lingkungan 8 hingga 41 tahun berada di rumah tersebut ketika kejadian dan berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba sampai di lokasi.
“Bagaimanapun kesemua mereka mengalami kecederaan melecur di beberapa bahagian badan dan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk menerima rawatan lanjut.
“Kebakaran melibatkan sebuah rumah kampung yang musnah 90 peratus dan sebuah kereta jenis Proton Wira dan berjaya dipadamkan pada 4.15 pagi,” katanya dalam satu kenyataan, pada Selasa.
Antara mangsa terlibat Jamri Manap, 41; Jurina Aziz, 46; dan anak mereka Mohd Raziq Azrai, Norhidayah, 17; Norain Jamalin, 12; dan Mohd Zazil Hidayat, 8.
Norazam berkata, api berjaya dikawal pada 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.15 pagi.
Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Nurshazlin Shahrom