RIYADH: Lima masjid di wilayah Mekah akan dipulihkan sebagai sebahagian daripada fasa kedua Projek Pembangunan Masjid Bersejarah Putera Mohammed bin Salman, lapor Agensi Saudi Press pada Ahad.
Projek ini bertujuan untuk melindungi, mengubah suai masjid, memanjangkan jangka hayatnya dan mengekalkan seni binanya yang telah terjejas akibat perubahan iklim sejak berabad-abad yang lalu.
Masjid pertama yang akan dibaik pulih di Mekah menerusi fasa kedua projek adalah Masjid Al-Baiah yang dibina pada era Khalifah Abbasiyah, Abu Jafar Al-Mansour. Ia terletak berdekatan Jamarat Al-Aqaba di Mina.
Masjid Al-Baiah ini akan kekal dengan keluasan 457.56 meter persegi walaupun selepas pengubahsuaian dan boleh memuatkan 68 jemaah.
Dua masjid di wilayah Jeddah yang dipilih untuk dibaik pulihkan adalah Masjid Abu Inbeh di Harat Al-Sham dan Masjid Al-Khadr di Jalan Al-Dhahab di kawasan kejiranan Al-Balad.
Masjid Abu Inbeh dibina lebih 900 tahun dahulu dan berkeluasan 339.98 meter persegi.
Selepas pengubahsuaian, Masjid Abu Inbeh keluasannya dijangka berubah ke 335.31 meter persegi dan memuatkan 357 jemaah.
Masjid Al-Khadr, berkedudukan sekitar 66 kilometer dari Masjidil Haram di Makkah, dibina sekitar 700 tahun lalu.
Selepas pengubahsuaian, ia akan mempunyai keluasan 355.09 meter persegi dan kapasiti 355 jemaah.
Keempat, adalah Masjid Al-Fath. Selepas Rasulullah, Nabi Muhammad menakluki Mekah, baginda pernah menunaikan solat di di Masjid Al-Fath di Muhafazat Al-Jamoum.
Masjid Al-Fath berkeluasan 455.77 meter persegi, dijangka bertambah kepada 553.50 meter persegi selepas diubahsuai malah kapasitinya juga akan meningkat daripada 218 kepada 333 jemaah.
Seterusnya, Masjid Al-Jubail, yang dibina lebih 300 tahun lalu, turut menjadi sebahagian daripada projek itu dan kawasan pasca pengubahsuaiannya akan menjadi 310 meter persegi. Kapasitinya akan kekal sama untuk 45 jemaah.
Tambahan, sebanyak 30 masjid lagi akan dimasukkan ke dalam fasa kedua projek pembangunan yang meliputi semua wilayah di sana.
Projek ini bertujuan untuk menyerlahkan budaya Arab Saudi yang kaya, memulihara masjid bersejarah untuk ibadat serta solat, mengekalkan ciri asal masjid bersejarah dalam masa sama meningkatkan status agama serta budaya.