5 kelebihan Sedekah yang anda perlu tahu
Oleh Azrina Amri, wartawan pelatih
Islam sangat mengalakkan umatnya untuk berusaha dan memperoleh harta secara halal bagi mencapai kebahagian di dunia dan akhirat.
Orang yang beriman dan bersyukur atas segala nikmat yang dikurniakan oleh-Nya akan dibelanjakan harta itu ke jalan Allah SWT.
Sedekah merupakan amalan terpuji, yang bukan hanya mampu menyucikan diri dan harta, bahkan pahalanya berkekalan hingga ke hari pembalasan.
Amalan ini tidak terhad kepada orang berharta, sebaliknya orang yang tidak memiliki harta juga boleh bersedekah asalkan lahir daripada hati yang ikhlas.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu berikan kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah baik bagi kamu dan Allah akan menghapuskan dari kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Baqarah: 271)
Oleh itu, apa kelebihan yang kita perolehi apabila bersedekah?
- Sedekah penghapus dosa
Manusia pasti tidak boleh lari daripada melakukan dosa, apa jua yang kita lakukan tidak pernah terlepas daripada catatan malaikat.
Hadis daripada Muaz bin Jabal r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Sedekah dapat menghapus dosa sebagaimana air memadamkan api.” (Riwayat al-Tirmizi)
- Orang yang bersedekah dimuliakan Allah SWT
Sedekah juga amalan yang disukai Allah SWT. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah.” (Riwayat al-Bukhari)
- Harta orang yang suka bersedekah tidak akan berkurang.
Selagi mana kita menginfakkan harta kita ke jalan yang diredai oleh Allah SWT, harta kita tidak akan berkurang. Hadis daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan berkurang harta dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kemuliaan baginya.” (Riwayat Muslim)
- Pahala orang bersedekah Allah SWT lipatgandakan.
Walaupun nilai yang kita berikan mungkin sedikit, tetapi Allah SWT akan membalasnya dengan pahala yang tidak terhitung. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi Meliputi ilmu pengetahuan-Nya. (Surah al-Baqarah: 261)
- Orang yang bersedekah akan mendapatkan naungan di hari akhirat.
Dalam hidup ini sekecil apa pun pemberian yang kita berikan, tetap diambil kira oleh Allah SWT malah, orang yang bersedekah mendapat naungan di hari akhirat. Rasulullah SWT ada menyebut dalam hadisnya yang bermaksud:
“Seorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya.” (Riwayat al-Bukhari)
Justeru itu, sayangnya Allah SWT terhadap hambaNya sehinggakan begitu banyak kelebihan yang Allah kurniakan kepada kita. Ambil peluang bersedekah ini untuk memperoleh syafaat daripada Allah SWT.