Semasa

“Ini kali pertama kami dapat daging korban…”

kami bersama anda

GRIK : Hari Raya Korban disambut bagi memperingati peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Ibrahim dan anaknya. Ia peristiwa yang memperlihatkan ketaatan Nabi Ibrahim apabila diwahyukan oleh Allah bagi mengorbankan anaknya Nabi Ismail.

Nabi Ibrahim bermimpi Allah s.w.t menyuruhnya menyembelih anaknya Nabi Ismail. Mimpi itu datang tiga hari berturut-turut dan baginda yakin ia adalah mimpi yang benar. Baginda pun tidak teragak-agak lagi bagi menyembelih anaknya Nabi Ismail, dan Nabi Ismail juga akur.

Kuasa Allah, leher Nabi Ismail tidak lut dengan pisau yang boleh memotong batu. Allah hanya mahu menguji ketaatan Nabi Ibrahim dan akhirnya Nabi Ismail digantikan dengan seekor kibas. Hal ini jelas menunjukkan akan keperibadian Nabi Ibrahim dan seharusnya menjadi ikutan umat Islam.

Ia kemudiaannya menjadi ibadah korban yang dilaksanakan setiap tahun oleh umat Islam yang berkemampuan. Daging korban itu kemudiaannya diagih-agihkan kepada mereka yang tidak berkemampuan pula.

Namun, tanpa kita sedari ada yang tidak berkemampuan tetapi tidak berpeluang menerima agihan daging korban yang datang setahun sekali.

Apabila dimaklumkan berkenaan perkara itu, Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama dengan pihak berkuasa tempatan segera ke rumah penduduk tersebut di penempatan Orang Asli Ulu Gerik, Perak, bagi mengagihkan bahagian daging korban kepada mereka.

Kesukaran untuk ke sana menjadi antara penyebab mereka seperti dilupakan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, sumbangan daging korban ini adalah untuk memberi peluang kepada semua saudara seagama merasai nikmat dan menyambut Hari Raya Korban.

(Dr.) Sani Araby Al Kahery, Ketua Aktivis Kemanusiaan MAPIM Malaysia

“Semua umat Islam layak merasai kegembiraan menyambut  Aidiladha. Jadi kami MAPIM dengan kerjasama pihak berkuasa setempat berusaha mengagihkan daging korban kepada semua golongan masyarakat termasuklah orang Asli. Mereka rata-ratanya tersenyum mendapat sumbangan daging korban yang sudah pasti Aidiladha untuk mereka tahun ini lebih bermakna,” katanya.

Walaupun sukar untuk dipercayai tetapi menurut Tok Batin kampung tersebut yang dikenali sebagai Bili, ini merupakan kali pertama mereka menerima bahagian daging korban sempena perayaan Aidiladha ini.

“Selama ni memang tak pernah kami semua dapat daging korban, nak pergi sembahyang raya pun masjid jauh, jadi ni pertama kalilah kami semua menerima bahagian daging lembu yang dibuat untuk korban ni.

“Terima kasih banyaklah kepada pihak MAPIM kerana sudi menyumbangkan bekas yang berisi daging korban ni, kami rasa bersyukur sangat-sangat,” katanya ketika ditemu bual wartawan UMMAHToday.

Sementara itu, UMMAHToday juga sempat menemu bual seorang penduduk di situ yang dikenali sebagai Ali, seorang penoreh getah yang turut berkongsi keadaan kehidupannya tatkala musim pandemik Covid-19.

“Saya bekerja sebagai penoreh getah, masa Covid-19 ni terjejas lah sikit pendapatan, nak keluar pun susah lagi-lagi nak beli barang pun jauh daripada rumah, ambil masa 54 minit kalau dari sini nak pergi ke pekan untuk beli barang.

“Jadi Alhamdulillah MAPIM datang bagi kita sumbangan ni, dapat la mengubati sikit keperitan yang kami alami selama ini, Aidiladha tahun jadi lebih ceria dan penuh kesyukuran, terima kasih lah sekali lagi kepada MAPIM,” katanya.

Untuk Aidiladha pada tahun ini, MAPIM menganjurkan  Program Ibadah Qurban MAPIM yang memanfaatkan 6000 keluarga dari seluruh Malaysia.

Penerima terdiri daripada golongan asnaf, mualaf, orang asli, pelajar tahfiz, dan pelarian serta kepada golongan muallaf. Mereka akan menerima daging korban berbentuk daging segar atau sejuk beku.

Oleh Hafeez Anuar

MARI LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB KITA

MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan kesusahan dalam negara lanjutan lock down dan covid-19. Ramai hilang pekerjaan dan dibebani dengan ujian

Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi

Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM

HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038

 

 

 

 

 

Related Articles

Back to top button