SHAH ALAM: Sebanyak 38 kejadian tanah runtuh dan cerun berlaku dilaporkan di sekitar kawasan Selangor susulan hujan lebat serta bah yang melanda.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Izham Hashim, berkata, ia membabitkan lokasi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).
“Daripada jumlah lokasi yang mengalami kejadian runtuhan tanah dan cerun itu, terdapat tujuh kes kritikal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, terdapat tujuh lokasi lagi dikesan mengalami kes kritikal, semuanya berlaku di Taman Nusa, Subang di kawasan MBSA, Apartmen Teratai, Selayang di bawah MPS dan Jalan Bunga Anggerik, Taman Dataran Ukay di kawasan MPAJ.
Selain itu, Jalan Melati 7, Taman Seri Melati dan Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang di kawasan MPS, Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar di bawah MPK dan Jalan 45B, Bukit D, Kampung Cheras Baru di kawasan MPAJ.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today