Semasa

ATM terima sumbangan 4 tan kurma, 1,000 al-Quran dari Arab Saudi

KUALA LUMPUR : Kerajaan Arab Saudi menerusi Angkatan Tentera Arab Saudi telah memberi sumbangan buah kurma dan Al-Quran kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Penasihat Pertahanan dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia, Brigedier Jeneral Abdullah Khaled Alyamini memberikan sebanyak empat tan buah kurma dan 1000 naskah Al-Quran beserta terjemahan Bahasa Malaysia dalam satu majlis ringkas di Wima Pertahanan pada petang semalam.

Sumbangan itu disampaikan kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Hj Affendi Buang untuk diagihkan kepada perkhidmatan-perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia sempena bulan Ramadan Al- Mubarak ini.

“ATM sesungguhnya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Angkatan Tentera Arab Saudi amnya dan khususnya Kerajaan Arab Saudi atas sumbangan berkenaan sebagai tanda pengukuhan hubungan silaturahim serta persaudaraan sesama Islam di samping memperkasakan aspek diplomasi pertahanan antara Angkatan Tentera kedua-dua buah negara.

“Pemerkasaan hubungan ketenteraan melalui sumbangan ini juga selari dengan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera iaitu ‘’Menterjemahkan Kertas Putih Pertahanan’’ dalam konteks hubungan pertahanan antarabangsa antara Malaysia dan negara lain,” menurut satu hantaran di Facebook Rasmi ATM.

Turut hadir di majlis ini ialah Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria bin Hj. Yadi dan Ketua Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Mejar Jeneral Hj. Mohd Rashidi Bujai.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button