Tentera Laut Tunisia menyelamatkan 163 PATI
TUNIS : Tentera Laut Tunisia menyelamatkan 163 pendatang tanpa izin (PATI), termasuk wanita dan kanak-kanak di luar pesisir pantai timur negara itu.
PATI itu, termasuk 163 rakyat Tunisia dan seorang Maghribi, ditemui semalam, menurut Kementerian Pertahanan, dalam satu operasi dengan pengawal pantai.
Kumpulan itu, yang terdiri daripada sembilan wanita dan 16 kanak-kanak, ditemui di atas bot kira-kira 12 kilometer (km) dari pantai Sfax, salah satu tempat berlepas utama pendatang tanpa izin yang menuju ke Eropah, lazimnya Itali.
Menurut Kementerian Pertahanan, mereka semua berumur antara lapan dan 48 tahun yang cuba menaiki kapal pada Jumaat lalu untuk menyeberangi sempadan maritim ke Eropah.
PATI telah diangkut ke pelabuhan nelayan Sfax dan diserahkan kepada pengawal pantai.
Sejak kebelakangan ini, Tunisia dan negara jiran, Libya semakin kerap digunakan oleh PATI yang terdesak mahu memasuki Eropah untuk memulakan pelayaran, kerap kali menggunakan bot usang yang tidak sesuai untuk pelayaran jarak jauh.
Garisan maritim di tengah Mediterranean, menurut organisasi kebajikan dan kemanusiaan, kini merupakan salah satu laluan PATI paling berbahaya di dunia.
Pada 2021, bilangan pendatang tanpa izin juga meningkat secara mendadak, dengan kira-kira 55,000 tiba di Itali dalam sepuluh bulan pertama, meningkat daripada kurang daripada 30,000 pada tahun sebelumnya.
Pada masa itu, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mendakwa bahawa sekurang-kurangnya 1,300 pendatang tanpa izin hilang atau terkorban.
-AGENSI