Yuran 300 baht dikenakan kepada pelancong asing di Thailand
BANGKOK : Sejumlah 300 bah (RM38) yuran kemasukan terhadap pelancong asing akan dicaj di Thailand seorang bermula 1 April dengan tujuan membiayai pembangunan lokasi pelancongan tempatan serta pelan perlindungan insurans.
Jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata yuran berkenaan akan dikenakan menerusi tambang tiket penerbangan.
“Bagaimanapun, agensi berkaitan masih belum memutuskan kaedah kutipan yang sesuai bagi kemasukan melalui darat,” katanya dalam satu kenyataan.
Thanakorn berkata mereka menjangkakan sebanyak 1.3 hingga 1.8 trillion baht mampu dijana dalam industri pelancongan termasuk 800 billion baht daripada pelancong asing.
Beliau berkata pada tahun 2022, kerajaan mengunjurkan kemasukan lima juta pelancong antarabangsa ke negara itu berdasarkan situasi semasa, di mana majoritinya dari Eropah dan Amerika Syarikat.
Jika pelancong China dan India kembali, ketibaan pelancong boleh mencecah sembilan juta, katanya.
“Sementara itu, jika sempadan darat dibuka semula untuk tujuan pelancongan rentas sempadan, ia bakal menarik pelancong dari Malaysia, Laos dan Myanmar, jumlah kemasukan 15 juta pelancong adalah munasabah,” katanya.
Sektor pelancongan Thailand terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 dengan hanya kira-kira 200,000 ketibaan direkodkan pada tahun lepas berbanding hampir 40 juta pengunjung pada 2019 dan 6.7 juta pada 2020.
Bank Pusat Thailand mengurangkan prospek ketibaan pelancong asing untuk 2022 daripada 6 juta kepada 5.6 juta.
– Diolah dan disunting dari artikel BERNAMA