KepenggunaanSemasa

31,600 bakal haji digesa segera jawab surat tawaran – Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menggesa 31,600 bakal haji supaya segera menjawab surat tawaran haji bagi musim 1444H/2023M yang dikeluarkan kepada mereka, bermula 22 Mac lepas.

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata pihaknya memohon kerjasama semua bakal haji tahun ini untuk memberi jawapan sama ada setuju atau tidak menerima tawaran haji, dalam masa tujuh hari bekerja daripada tarikh surat berkenaan dikeluarkan.

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (duduk tengah) – Kredit BERNAMA

“Bakal haji Malaysia boleh melayari www.thijari.com.my dan memuat turun aplikasi ThiJARI untuk menyemak serta menjawab tawaran haji yang telah dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau turut berkata semua bakal haji terpilih perlu mencukupkan wang mengikut jumlah bayaran haji yang tertera dalam surat tawaran di akaun TH serta mendapatkan Buku Rekod Rawatan di mana-mana cawangan TH berhampiran bagi membolehkan pemeriksaan kesihatan dilakukan.

Pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan di hospital, klinik kerajaan atau swasta yang diiktiraf Kementerian Kesihatan dan semua bakal haji diwajibkan lulus pemeriksaan kesihatan bagi memperoleh visa haji sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

“Setelah selesai pemeriksaan kesihatan, semua bakal haji diminta untuk menghantar jawapan surat tawaran haji, buku rekod rawatan dan pasport antarabangsa ke mana-mana pejabat cawangan TH yang berhampiran,” katanya.

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan TH, boleh layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) menerusi talian 03-6207 1919.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button