KHARKIV : Sekurang-kurangnya 27 orang awam terbunuh dalam serangan di bandar Kharkiv, Ukraine dalam tempoh 24 jam lalu, menurut polis tempatan pada Selasa.
Pegawai polis wilayah, Serhiy Bolvinov dalam satu kenyataan di media sosial berkata 170 orang awam, termasuk lima kanak-kanak, telah terbunuh di seluruh Kharkiv sejak permulaan konflik antara Rusia dan Ukraine berlaku.
Konflik tersebut yang bermula pada 24 Februari lalu telah mengundang kecaman antarabangsa, membawa kepada sekatan kewangan ke atas Moscow, dan mendorong firma global keluar dari Rusia.
Untuk rekod, PBB memberitahu bahawa sekurang-kurangnya 474 orang awam telah terbunuh dan 861 lagi cedera sejak bermulanya perang, sambil memberi amaran bahawa keadaan di lapangan menyukarkan untuk mengesahkan jumlah sebenar.
Dalam pada itu, lebih dua juta orang kini telah meninggalkan Ukraine sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besarannya pada 24 Februari, menurut data terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR) merekodkan 2,011,312 pelarian di laman web khususnya, 276,244 lebih daripada kiraan sebelumnya pada Isnin.
-AGENSI