Semasa

263 jemaah Malaysia layak menunaikan haji tahun ini

KUALA LUMPUR : Seramai 263 orang bakal jemaah haji warganegara Malaysia di Arab Saudi layak bagi menunaikan ibadah haji pada Musim Haji 1442H.

Berita gembira itu dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi laman Facebooknya hari ini.

“Alhamdulillah, menjunjung kasih Khadimul Haramain al-Syarifain Yang Mulia Raja Salman bin Abdulaziz dan sekalung penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi atas kelulusan permohonan 263 orang bakal jemaah haji warganegara Malaysia di Arab Saudi bagi menunaikan ibadah haji pada Musim Haji 1442H.

“Tanpa izin-Nya, tanpa hubungan diplomatik yang amat erat antara Malaysia dan Arab Saudi, disamping peribadi jemaah haji Malaysia yang terkenal dengan sikap berdisiplin dan menunjukkan akhlak yang terpuji, sudah pasti perkara ini sukar untuk dicapai,” katanya.

Menurut Dr Zulkifli, perkara ini juga adalah satu khabar yang menggembirakan kerana pada tahun lalu, hanya 8 orang rakyat Malaysia sahaja yang terpilih.

Dalam pada itu, beliau mewakili kerajaan Malaysia dan Tabung Haji akan memastikan kebajikan bakal jemaah haji ini berada dalam keadaan yang baik.

Oleh Pelatih Hafeez Anuar (Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media)

 

Related Articles

Back to top button