KANO: Seramai 21 orang maut manakala,13 cedera dalam insiden keganasan melibatkan dua serangan di barat laut Nigeria, hujung minggu lalu.
Kawasan di barat laut dan tengah Nigeria berdepan pergolakan antara pengembala dan petani berkenaan akses bekalan air dan padang rumput ternak.
Bukan itu sahaja, wilayah itu turut diserbu kumpulan penjenayah yang menyerang kampung tersebut, mencuri lembu dan menculik bagi dijadikan tebusan.
Menurut Pesuruhjaya keselamatan wilayah, Samuel Aruwan berkata, sembilan penduduk terbunuh ketika kampung Ungwan Dooh di daerah Zangon Kataf di serbu sekumpulan individu tidak dikenali pada Ahad lalu.
“Setakat ini, sembilan mayat ditemukan selepas pencarian di seluruh kampung itu.
“Seorang penduduk cedera ditembak dan sedang menerima rawatan di hospital. Dua rumah terbakar dalam serangan itu,” kata Aruwan dalam kenyataan.
Jelas beliau, pasukan tentera sedang giat melakukan serbuan di kawasan itu untuk mencari kumpulan penyerang tersebut.
Sementara itu, polis berkata, seramai 12 orang terbunuh dan 12 cedera dalam satu serangan di kampung Duba di wilayah Katsina pada Sabtu lalu.
Katanya, ratusan anggota kumpulan penjenayah menyerang dengan menggunakan motosikal.
“Kumpulan penjenayah memasuki kampung itu, kira-kira 300 anggota yang membawa senapang mesin dan roket pelancar bom tangan (RPG) menyerbu kampung tersebut.
“Mereka juga memecah masuk kedai dan merompak barangan,” kata jurucakap polis wilayah Katsina, Gambo Isah.
AFP