20,000 peserta bakal meriahkan perarakan Hari Kebangsaan
Bertema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ sambutan hari Kebangsaan akan diadakan Rabu ini di Dataran Merdeka
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ketika raptai penuh sambutan ‘Hari Kebangsaan 2022’ pagi tadi berkata jumlah peserta bagi acara perbarisan dan perarakan pada Rabu akan datang kini meningkat kepada hampir 20,000 orang.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 menjelaskan, jumlah itu meningkat berbanding hampir 16,000 peserta sebelum ini, bagi memenuhi permintaan pelbagai pihak yang ingin menyertai sambutan hari bersejarah itu di lokasi utama di Dataran Merdeka.
“Kita bermula dengan 10,000 peserta kemudian naik kepada 16,000 peserta dan sekarang kita terpaksa memenuhi banyak permintaan dan kini yang terlibat dalam perarakan kita ini hampir 20,000 peserta.”
“Nampaknya sambutan luar biasa, memang jelas. Malah bilangan peserta dan aset ini adalah terbesar pernah kita lakukan termasuk sambutan orang ramai di semua peringkat termasuk kerajaan negeri, penguat kuasa tempatan malah komuniti,” katanya kepada pemberita selepas meninjau raptai penuh acara perbarisan dan perarakan itu yang bermula seawal 6:30 pagi hari ini.
Annuar berpuas hati dengan raptai penuh yang dijalankan hari ini dan berharap ia dapat dikekalkan pada sambutan Hari Kebangsaan 2022, 31 Ogos ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin menyaksikan acara perbarisan dan perarakan itu hadir lebih awal sebelum 7:30 pagi bagi mengelakkan kesesakan susulan beberapa jalan raya ditutup.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kontinjen yang telah mengadakan latihan dan para peserta yang menunjukkan pertunjukan yang baik termasuk artis, atlet dan sebagainya.”
“Saya berharap mood ini bukan sahaja pada acara perarakan 31 Ogos. Kita tetapkan sambutan kali ini mestilah sambutan rakyat yang disusuli dengan di tempat masing-masing termasuk di rumah dan komuniti masing-masing,” katanya.
Hari Kebangsaan 2022 bertema ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ bakal disambut Rabu ini di Dataran Merdeka dengan sasaran pengunjung seramai 50,000 selepas dua tahun negara tidak mengadakan sambutan berkenaan secara besar-besaran berikutan Covid-19.
Pelbagai acara menarik telah diatur bagi menyemarakkan sambutan tahun ini termasuk keberangkatan tiba KDYMM Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja dari Menara DBKL ke Dataran Merdeka.