DuniaSemasa

20 maut gempa bumi di Quetta, Pakistan

QUETTA : Kira-kira 20 maut, manakala, 200 cedera dalam kejadian gempa bumi dengan kekuatan 5.7 skala Richter yang melanda bandar Quetta, selatan Pakistan awal pagi ini.

Menurut AFP, kemudahan infrastruktur yang mundur, ditambah, bekalan elektrik terputus  menyebabkan kerja-kerja  menyelamat menjadi lebih sukar sehingga terpaksa merawat mangsa dengan cahaya lampu suluh.

Kejadian gempa bumi berlaku ketika penduduk sedang tidur dan kebanyakannya maut akibat dihempap bumbung dan dinding rumah mereka.

Kemusnahan rumah penduduk Pakistan kesan daripada gempa bumi

Pegawai Kanan di pejabat pihak berkuasa tempatan, Suhail Anwar Hashmi, berkata seorang wanita dan enam kanak-kanak antara yang menjadi mangsa insiden tersebut.

“Kami segera mengirim helikopter ke daerah itu untuk membantu operasi menyelamat dan mengasingkan mereka yang cedera,” kata Hashmi.

Terdahulu, Pakistan pernah mengalami kejadian gempa bumi berukuran 7.6 pada skala Richter pada 8 Oktober 2005 di wilayah Kashmir hingga mengorbankan 73,000 penduduk  dan 3.5 juta hilang tempat tinggal.

Oleh Nurshazlin Shahrom

 

Related Articles

Back to top button