Semasa

20 juta rakyat Myanmar hidup bawah paras kemiskinan – PBB

MANILA : Seramai 20 juta rakyat Myanmar dilaporkan hidup di bawah paras kemiskinan dan berpotensi menjadi pelarian, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemangku Residen Penyelaras PBB di Myanmar, Andrew Kirkwood, memaklumkan rampasan kuasa yang didalangi tentera sejak 1 Februari lalu, negara itu mengalami krisis yang lebih buruk.

“Krisis dialami Myanmar sekarang adalah sesuatu yang tidak pernah disaksikan dalam tempoh 20 tahun lalu dan dikhuatiri bertambah buruk jika tidak ditangani segera.

“Kita sering menggunakan istilah krisis di dunia ini tetapi saya ingin menekankan hari ini bahawa rakyat Myanmar kini benar-benar berada dalam krisis yang paling teruk, biar apa pun kata orang lain.

“Faktor ini juga mendorong ramai penduduk Myanmar menjadi pelarian, sekali gus memberi tekanan kepada negara serantau terutama yang berjiran,” katanya.

Myanmar dilanda kemelut sejak tunjuk perasaan yang dijalankan hampir setiap hari susulan junta tentera bertindak mengguling kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

Tambah Kirkwood, kegagalan junta tentera dalam mengekang penularan Covid-19 mahupun melaksanakan program vaksinasi menyebabkan nasib rakyat Myanmar semakin terancam.

Menurutnya, sejak tentera mengambil alih kerajaan terdapat peningkatan jumlah dari satu juta kepada tiga juta yang memerlukan bantuan kemanusiaan.

“PBB menyediakan bantuan makanan dan kewangan bagi 1.4 juta penduduk manakala 660,000 penduduk lagi mendapat perkhidmatan berkaitan perlindungan di kawasan konflik.

“Lebih 260,000 diberikan tempat perlindungan sementara manakala sekitar 330,000 lagi di beri akses air bersih,” katanya.

Namun, Kirkwood mengakui bantuan itu tidak mencukupi, malah sekatan Covid-19 dan isu kawalan sempadan lain juga menjejaskan penyaluran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Myanmar.

Sehubungan itu, beliau merayu kepada pemimpin dunia untuk melakukan apa saja yang boleh untuk membantu meningkatkan penyaluran bantuan kemanusiaan di Myanmar, termasuklah meningkatkan dana.

Dalam pada itu, mereka (PBB) sudah meminta sejumlah AS$385 juta (RM1.6 bilion) untuk bantuan kemanusiaan tetapi sekitar hanya AS$128 juta (RM532 juta) saja diluluskan setakat ini.

– AGENSI

Related Articles

Back to top button